Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik Aziz, telah memohon maaf kerana mengambil bahagian dalam ‘champagne shower’ bagi meraikan kemenangan pasukan tersebut dalam Perlumbaan Formula Satu Grand Prix Singapura baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan ringkas, Tengku Taufik menyifatkan kemenangan itu sebagai pencapaian yang amat dinanti-nantikan dalam kerjasama strategik jangka panjang Petronas dengan Mercedes-AMG, dan beliau berasa berbesar hati apabila dijemput menerima Trofi Kemenangan Kategori Konstruktor bagi pihak pasukan tersebut.
Baca Juga:
- Pekerja Terima Ugutan SMS, Petronas Diminta Perketat Kawalan Keselamatan

- Tragedi Putra Heights: Petronas Gas Bakal Tanggung Kerugian RM25 Juta

- ‘Bubar Sahaja Pertamina, Beri Petronas Masuk’ – Dewan Rakyat Indonesia

“Namun begitu, saya mengakui bahawa tindakan spontan dan keterujaan sesaat saya dalam meraikan detik kemenangan tersebut mungkin tidak kena pada tempatnya. Walaupun saya dengan tegas menyatakan bahawa saya tidak mengambil sebarang minuman beralkohol, sebagai seorang Muslim, saya seharusnya lebih peka terhadap sensitiviti yang berkaitan dengan penglibatan dalam bentuk sambutan seperti itu. Oleh itu, saya ingin memohon maaf atas sebarang kesalahan yang tidak disengajakan dan bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakan saya.
“Bagi pihak PETRONAS, izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan berterusan terhadap penglibatan kami dalam sukan permotoran bertaraf dunia ini. Kejayaan yang kami capai kini, dan juga pada masa hadapan dalam era bahan api lestari, akan menjadi bukti kepada inovasi dan keupayaan rakyat Malaysia,” jelas beliau.