Selepas berakhirnya ‘pemerintahan’ Roman Abramovich dan digantikan dengan Todd Boehly, Chelsea kelihatan cukup berminat dengan pemain-pemain Brighton.
Sejak 2022, Chelsea sudah mendapatkan empat pemain kelab tersebut dan tidak terkecuali pernah merekrut Graham Potter dan barisan kejurulatihannya sebaik sahaja Thomas Tuchel meninggalkan pasukan.
Baca Juga:
- Belasah Real Betis 4-1, Chelsea Muncul Juara UEFA Conference League 2024/25

- Chelsea Berikan ‘Guard Of Honour’ Dan Kemudian Ajar Liverpool Di Stamford Bridge

- Enzo Maresca: Chelsea Belum Bersedia Rebut Kejuaraan EPL

Difahamkan, dengan kehadiran terbaharu Joao Pedro, ia menjadikan 14 bekas pemain atau kakitangan Brighton telah menyertai kelab London tersebut.
Minat Chelsea terhadap barisan pemain serta kakitangan Brighton bukanlah perkara pelik kerana Paul Winstanley yang kini memegang jawatan Pengarah Sukan Chelsea merupakan bekas ketua pencari bakat Brighton sejak 1 September 2014 hingga 1 November 2022.

Selain itu, Sam Jewell yang juga merupakan bekas ketua pencari bakat Brighton turut menyertai Chelsea pada 1 Mei 2024.
Dimulakan dengan kehadiran Potter bersama barisan kejurulatihannya, diikuti pula Winstanley, Jewell dan dua lagi pencari bakat dari sana iaitu Charlie Hutton dan John Tweedy.
Satu keadaan yang menunjukkan hubungan Chelsea dan Brighton jelas cukup erat terutamanya ketika jendela perpindahan dibuka.
Brighton Bukan Sekadar Melepaskan, Chelsea Perlu Berbelanja Besar
Daripada empat pemain yang dibawa masuk ke Stamford Bridge setakat ini, mereka telah membelanjakan €23 juta untuk mendapatkan penjaga gol, Roberto Sanchez manakala Marc Cucurella pula bernilai €65.30 juta.
Moises Caicedo pula hadir dengan tanda harga yang cukup mahal iaitu sebanyak €116 juta. Sementara itu rekrut baharu dari Brighton, Joao Pedro pula bernilai €63.70 juta.
Secara keseluruhan tidak termasuk sebarang tambahan pembayaran, Chelsea sudah berbelanja sebanyak €268 juta (RM1.35 bilion) untuk mendapatkan pemain-pemain dari Brighton.

Perbelanjaan besar ini mencerminkan dua perkara utama iaitu kesanggupan kelab tersebut membayar harga premium demi mendapatkan pemain yang mereka yakini sesuai dengan falsafah dan corak permainan semasa.
Keduanya adalah pengaruh kuat bekas struktur teknikal Brighton yang kini membentuk tulang belakang bahagian pengurusan sukan kelab tersebut.
Namun begitu, pelaburan besar ini masih belum sepenuhnya membuahkan hasil. Prestasi mereka sejak era Todd Boehly bermula dianggap tidak konsisten walaupun memiliki skuad muda yang berbakat dan bernilai besar.
Namun begitu pada musim lalu, pemain-pemain seperti Enzo Fernandez, Pedro Neto, Caicedo dan Cucurella dilihat berjaya memberikan sumbangan berkesan buat pasukan hingga membantu The Blues kembali ke saingan UEFA Champions League (UCL) dan muncul juara UEFA Conference League.