Ketegangan antara Malaysia dan China sekali lagi terjadi selepas Beijing desak Malaysia untuk menghentikan serta-merta semua aktiviti di kawasan kaya minyak di perairan Sarawak, lapor Malaysia Now.
Tindakan tersebut disampaikan melalui nota protes yang dihantar ke kedutaan Malaysia di China minggu lalu, seperti dilaporkan oleh Philippine Daily Inquirer yang turut menerbitkan dokumen tersebut.
Dokumen itu menuduh Malaysia menceroboh kawasan yang didakwa oleh China berdasarkan peta kontroversi yang menunjukkan tuntutan kedaulatan Beijing di Laut China Selatan, dikenali sebagai “9 garis putus-putus” (nine-dash line).
Nota tersebut turut menyatakan rasa tidak puas hati Beijing terhadap aktiviti pencarian minyak dan gas Malaysia di sekitar Gugusan Beting Raja Jarum, atau lebih dikenali sebagai Luconia Shoals.
Bagi China, gugusan terumbu ini dirujuk sebagai “Nankang Ansha” dan “Beikang Ansha”, walaupun jaraknya hanya 100 km dari Sarawak dan hampir 2,000 km dari tanah besar China.
Permintaan dari China ini berlaku meskipun Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah cuba mengendurkan ketegangan dengan nada diplomatik yang lebih lembut, terutama ketika beliau menggambarkan China sebagai “sahabat sejati” dalam usaha meredakan sikap tegas Beijing terhadap tuntutan wilayahnya.
Dalam satu kenyataan sebelum ini, Anwar menegaskan bahawa kawasan tersebut adalah wilayah Malaysia dan Petronas akan terus menjalankan aktiviti eksplorasinya.
Malaysia dan China adalah antara tujuh negara yang mempunyai tuntutan wilayah di Laut China Selatan, bersama Brunei, Taiwan, Indonesia, Filipina, dan Vietnam. Tuntutan China berdasarkan “nine-dash line” yang telah diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah Tetap Timbang Tara di The Hague pada tahun 2016.
Namun, China tetap bertegas dengan peta baharunya, “9 garis putus-putus” (nine-dash line), untuk memasukkan kawasan tambahan berhampiran Taiwan.
Di tengah ketegangan ini, Petronas, syarikat minyak negara Malaysia, terus beroperasi di zon ekonomi eksklusif termasuk Gugusan Beting Raja Jarum.