Lee Zii Jia mempamerkan aksi meyakinkan untuk mara ke suku akhir kejohanan badminton China Masters 2023 yang berlangsung di Shenzhen Bay Gymnasium.

Berdepan Lu Guang Zu yang berada di ranking ke-16 dunia jelas menyerlahkan kematangan dalam aksi pemain perseorangan nombor satu negara itu meskipun menghadapi  sorakanpenyokong tuan rumah.

Baca Juga:

Zii Jia beraksi dengan penuh bersemangat serta tenang dan kurang melakukan kesilapan mudah untuk mencuri set pertama dengan kemenangan 21-10.

Momentum baik itu kemudiannya diteruskan Zii Jia pada set kedua bagi memastikan slot suku akhir menjadi milik beliau dengan jurang 21-12.

Ia merupakan kemenangan keempat yang dilakarkan oleh Lee Zii Jia dalam lima pertemuan dengan wakil dari China tersebut.

Menanti pemain ranking ke-11 dunia itu ialah pemenang antara Kenta Nishimoto yang berhadapan dengan juara dunia, Kunlavut Vitidsarn dari Thailand.

Sementara itu, tiga lagi wakil negara akan turun beraksi sebentar lagi bertemu para pemain tuan rumah.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan bertemu He Ji Ting-Ren Xiang Yu, Man Wei Chong-Tee Kai Wun pulan bakal membuat perhitungan dengan Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi.

Manakala perseorangan wanita, Goh Jin Wei menghadapi cabaran sukar apabila dijadualkan bertemu pemain pilihan ketiga kejohanan, Chen Yu Fei.

China Masters 2023 merupakan kejohanan yang cukup berprestij dalam kalender Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kerana ia berstatus Super 750.