Peta baharu China bagi tahun 2023 yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Asli China telah memasukkan sebahagian besar perairan Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak, serta pelbagai wilayah di India.

Dikeluarkan sempena Minggu Kesedaran Pemetaan Kebangsaan China dan Hari Publisiti Tinjauan dan Pemetaan, peta ini turut memasukkan beberapa kawasan yang menjadi pertikaian negara-negara terlibat, termasuk tuntutan ke atas Arunachal Pradesh, wilayah Aksai Chin, Taiwan dan Laut China Selatan.

HYPE
Wayout Solution Cipta Sejarah Rangkul Anugerah Company Of The Year
Baca lagi →

Baca Juga:

Harian Metro melaporkan bahawa peta baharu ini juga memasukkan kawasan maritim dalam zon ekonomi eksklusif (ZEE) Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak, Brunei, Filipina, Indonesia dan Vietnam.

Peta terbaharu ini dikeluarkan susulan daripada pengumuman Beijing pada April lalu bahawa ia akan “melaksanakan piawaian” untuk 11 lokasi di Arunachal Pradesh, termasuk sebuah bandar berhampiran ibu kota Arunachal Pradesh, Itanagar.

Selepas dikeluarkan kepada umum peta baharu China ini, Kementerian Sumber Asli dilaporkan merancang untuk mengeluarkan ‘peta digital dan navigasi’ untuk digunakan dalam pelbagai bidang, termasuk perkhidmatan berasaskan lokasi, pertanian, ekonomi, dan kenderaan pintar.

Tahun ini adalah tahun memperingati ulang tahun ke-30 Undang-undang Ukur dan Pemetaan Republik Rakyat China.

Undang-undang itu bertujuan untuk mengukuhkan pentadbiran syarikat ukur dan pemetaan, mempromosikan pembangunan, dan memastikan syarikat terbabit memberi perkhidmatan kepada pembangunan negara, ekonomi, pembinaan pertahanan dan kemajuan masyarakat di China.

Setakat laporan ini ditulis, India telah bertindak menafikan dakwaan ini dan mengkritik peta baharu China.

“Kami hari ini telah mengemukakan bantahan keras melalui saluran diplomatik dengan pihak China mengenai apa yang dipanggil ‘peta piawai’ China 2023 yang menuntut wilayah India,” kata jurucakap kementerian luar India itu seperti yang dilaporkan Reuters.

“Kami menolak dakwaan ini kerana ia tidak mempunyai asas. Langkah seperti itu oleh pihak China hanya merumitkan penyelesaian soal sempadan,” katanya.

Bantahan New Delhi berlaku beberapa hari selepas Perdana Menteri India Narendra Modi bercakap dengan Presiden China Xi Jinping di luar sidang kemuncak BRICS di Johannesburg minggu lalu dan menekankan kebimbangan mengenai pertikaian di sempadan Himalaya yang terus dipertikai.

Hubungan antara dua jiran nuklear ini kurang baik selepas tentera dari kedua-dua pihak bertempur di Himalaya pada Jun 2020, mengakibatkan kematian 20 tentera India dan empat tentera China.

Walaupun keadaan di sempadan hampir 3,000 km (1,860 batu) tenang sejak itu, situasi difahamkan masih panas dengan puluhan ribu askar berkumpul di kedua-dua belah sempadan di barat Himalaya.