Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Dato’ Seri Lee Chong Wei tanpa berselindung mengakui mengalu-alukan kehadiran semula Datuk Misbun Sidek dalam ekosistem badminton negara.

Namun, ia bukanlah dalam tempoh masa terdekat kerana jurulatih legenda itu baharu sahaja memulakan tugasannya bersama Hatsun Badminton Centre di Tamil Nadu, India.

Baca Juga:

Menurut sumber laporan Astro Awani, Chong Wei sendiri bersedia untuk berunding dengan Misbun, sekiranya barisan kejurulatih BAM berminat untuk menggunakan khidmat bekas jurulatihnya itu.

Beliau juga mengakui bahawa tugasannya adalah untuk membantu barisan kejurulatihan dan tidak akan mempengaruhi sebarang keputusan mereka dalam usaha merekrut mana-mana jurulatih.

Lee Chong Wei
Kredit Foto: TENGKU BAHAR / AFP

Tiada Masalah Buat Misbun Sidek Kembali

“Bagi saya ia bergantung kepada pilihan barisan kejurulatihan. Jika barisan kejurulatihan mahukan Datuk Misbun kembali ke BAM, tugas saya adalah bertemu dengannya untuk berbincang sama ada dia mahu kembali ke skuad kebangsaan atau tidak.”

“Jika barisan kejurulatihan katakan mereka perlukan jurulatih lain, saya menghormati keperluan mereka. Tugas saya adalah untuk membantu barisan kejurulatihan.”

“Tetapi kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Mungkin akan ada jurulatih letak jawatan, ada jurulatih tamat kontrak atau mungkin ada jurulatih yang tidak bersesuaian.”

“Jika ada kekosongan, sudah pasti kami mengalu-alukan kehadirannya,” ujar pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu lagi.

Dalam tempoh beberapa minggu ini, dunia badminton disajikan dengan berita kehadiran Harry Hartono dari Indonesia yang menjawat tugasan sebagai jurulatih perseorangan lelaki negara dibawah BAM.

Manakala bekas pemain kebangsaan, Yeoh Kay Bin pula dipertanggungjawabkan untuk membimbing perseorangan lelaki remaja negara. Datuk Misbun pula berkelana buat pertama kali dalam kariernya di India.

Sumber