Kontroversi membabitkan mutu pengadilan dalam aksi Piala Dunia antara Mesir dan Argentina telah mendorong pegawai tertinggi pengadilan FIFA, Pierluigi Collina tampil memberikan komen.
Menurut sumber laporan Bein Sports, Collina tampil mempertahankan tindakan barisan pengadil secara terbuka dengan menegaskan setiap keputusan yang dibuat adalah secara bebas dan selaras dengan Undang-Undang Permainan (Laws of the Game)
Bekas pengadil kelahiran Itali itu menekankan bahawa setiap pegawai perlawanan sentiasa bertindak dengan niat yang baik serta komited untuk membuat keputusan sebaik mungkin, sama seperti pemain dan jurulatih yang sentiasa berusaha memberikan prestasi terbaik mereka.

Collina Tampil Pertahan Pengadil FIFA
Antara mesej paling tegas disampaikan Collina adalah ditujukan kepada pihak yang mempersoalkan integriti badan pengadilan FIFA.
Beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa pengadil menerima arahan atau tekanan daripada mana-mana pihak di luar struktur pengadilan, termasuk Presiden FIFA, Gianni Infantino.
Menurut Collina, jabatan pengadilan FIFA beroperasi dengan autonomi sepenuhnya manakala peranan Infantino hanyalah memberi sokongan kepada para pengadil tanpa mencampuri keputusan yang dibuat di atas padang.
Beliau turut memberi amaran bahawa tuduhan tidak berasas boleh membawa kesan serius, termasuk mendedahkan pengadil dan ahli keluarga mereka kepada ugutan serta pelbagai bentuk gangguan.
Collina turut mengulas antara detik paling hangat diperdebatkan dalam perlawanan itu, iaitu semakan VAR yang membawa kepada pembatalan gol kedua Mesir.
Beliau menjelaskan bahawa setiap jaringan akan melalui semakan automatik terhadap fasa serangan yang membawa kepada gol tersebut, sekali gus membolehkan pegawai VAR mengesan sebarang kekasaran yang berlaku lebih awal dalam gerakan sekiranya ia memberi kesan secara langsung kepada peluang jaringan.
Dalam insiden berkenaan, FIFA memutuskan bahawa Marwan Attia telah melakukan kekasaran apabila memijak kaki Lisandro Martinez sebelum gol dijaringkan.
Memandangkan pengadil tidak menyedari pelanggaran itu ketika perlawanan berlangsung, VAR kemudian mengesyorkan semakan di monitor tepi padang sebelum pengadil akhirnya memutuskan untuk membatalkan jaringan tersebut.

Selain itu, beliau turut mempertahankan keputusan untuk tidak menghadiahkan sepakan penalti susulan insiden melibatkan Mohamed Salah dan Julian Alvarez sebelum Argentina menjaringkan gol kemenangan.
Menurut ketua pengadilan FIFA itu, sentuhan yang berlaku dianggap sebagai aksi bola sepak yang normal kerana pemain pertahanan terlebih dahulu berjaya memainkan bola sebelum kedua-dua pemain bertembung.
Beliau menjelaskan bahawa sekiranya VAR berpandangan berlaku kekasaran dalam fasa serangan tersebut, pengadil pasti akan diarahkan untuk membuat semakan di monitor tepi padang.
Menerusi penjelasan itu, Collina berharap dapat mengukuhkan keyakinan terhadap proses pengadilan FIFA, di samping meredakan kontroversi yang tercetus susulan salah satu aksi pengadilan paling hangat diperdebatkan pada Piala Dunia FIFA 2026.