Portugal gagal memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan kemenangan apabila diikat 1-1 oleh DR Congo dalam aksi pembukaan Kumpulan K di Houston.

Keputusan ini dianggap satu kejutan memandangkan Portugal hadir sebagai pasukan pilihan, manakala DR Congo baru kembali ke pentas Piala Dunia selepas 52 tahun.

Pasukan Roberto Martínez bermula garang dan hanya memerlukan enam minit untuk membuka jaringan. Pedro Neto menghantar hantaran silang tepat ke arah João Neves yang menanduk masuk gol pendahuluan Portugal. Gol awal itu seolah-olah memberi petanda bahawa Portugal bakal menguasai perlawanan dengan selesa.

Seperti dijangka, Portugal mengawal sebahagian besar penguasaan bola selepas itu. Bruno Fernandes mengemudi permainan di bahagian tengah manakala Cristiano Ronaldo cuba mencari ruang di kawasan serangan.

Namun, walaupun mendominasi bola, Portugal sukar menghasilkan peluang benar-benar berbahaya kerana disiplin pertahanan DR Congo yang sangat tersusun.

DR Congo tidak hanya bertahan. Mereka beberapa kali mengancam melalui serangan balas pantas dan mula menunjukkan keyakinan apabila permainan memasuki penghujung babak pertama.

Ganjaran akhirnya tiba pada masa kecederaan separuh masa pertama apabila Yoane Wissa menanduk masuk hasil situasi bola mati untuk menyamakan kedudukan 1-1.

Gol itu merupakan jaringan pertama DR Congo di Piala Dunia sejak edisi 1974 dan mencetuskan sambutan luar biasa dalam kalangan penyokong mereka.

Memasuki separuh masa kedua, Portugal terus menekan. Martínez memasukkan beberapa pemain menyerang termasuk Gonçalo Ramos dan Rafael Leão bagi mencari gol kemenangan.

Namun, benteng DR Congo yang diketuai Axel Tuanzebe dan Chancel Mbemba kekal ampuh, sementara penjaga gol Dimitry Mpasi turut beraksi cemerlang apabila diperlukan.

Cristiano Ronaldo, yang mencipta sejarah dengan penampilan dalam Piala Dunia keenamnya, tidak berjaya memberi impak besar di hadapan gawang lawan.

Ronaldo melakukan 25 sentuhan, dengan 3 percubaan dan tanpa sebarang percubaan tepat. Ianya aksi yang hambar untuk kualiti Ronaldo.

Bintang berusia 41 tahun itu dikawal rapi sepanjang perlawanan dan Portugal akhirnya terpaksa berpuas hati dengan satu mata.

Keputusan seri ini memberikan tekanan awal kepada Portugal menjelang perlawanan seterusnya menentang Uzbekistan, manakala DR Congo boleh berbangga dengan satu mata berharga yang menghidupkan peluang mereka dalam Kumpulan K.

Bagi pasukan Afrika itu, keputusan ini terasa seperti satu kemenangan kecil selepas penantian lebih lima dekad untuk kembali ke Piala Dunia.