Ketua pasukan Portugal dan Al-Nassr, Cristiano Ronaldo melancarkan saluran YouTube beliau dan meraih jutaan pengikut hanya dalam beberapa jam selepas pelancaran.

Menurut laporan Al Jazeera, Cristiano telah memecahkan rekod dunia iaitu untuk saluran YouTube terpantas yang mencecah satu juta pelanggan.

Baca Juga:

“Penantian sudah berakhir. Saluran YouTube saya akhirnya di sini! Langgan dan sertai saya dalam perjalanan baharu ini,” tulis Ronaldo di akaun media sosialnya.

“Saya sangat gembira dapat menjalankan projek ini. Ia sudah lama berada dalam fikiran saya tetapi akhirnya kami berpeluang untuk merealisasikannya.

“Saya sentiasa menikmati hubungan yang begitu kukuh dengan peminat di media sosial dan saluran YouTube saya akan memberi saya platform yang lebih besar untuk berbuat demikian dan mereka akan mengetahui lebih lanjut tentang saya, keluarga saya dan pandangan saya tentang pelbagai subjek. Saya juga tidak sabar untuk berkongsi perbualan dengan tetamu yang pasti akan mengejutkan orang ramai,” tambahnya.

Beberapa jam selepas menyiarkan video pertamanya di akaun UR. Ronaldo, 1.69 juta pelanggan telah menyertai saluran tersebut.

Ronaldo mempunyai seramai 112.5 juta pengikut di platform X, 170 juta di laman Facebook dan 636 juta di laman Instagram.

Ini menjadikan Cristiano Ronaldo sebagai individu dengan paling banyak pengikut di ketiga-tiga platform ini dengan jumlah 917 juta pengikut mengatasi atlet dan juga selebriti lain di dunia.

Individu paling banyak pengikut di YouTube ialah MrBeast dengan 311 juta dan Ronaldo dilihat mampu mencapai angka ini sekiranya pengikutnya bertambah setiap hari.