Legenda bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo, mengumumkan bahawa beliau kini secara rasmi menyertai Esports World Cup atau EWC sebagai Duta Global.

Berita ini benar benar mencuri perhatian dunia sukan dan permainan video.

Pengumuman tersebut dibuat menerusi hantaran di platform media sosial X, di mana Ronaldo menyatakan:

“Saya berbangga untuk menyertai Esports World Cup sebagai Duta Global – berdiri bersama atlet esports yang mengatasi cabaran dan memberi inspirasi kepada generasi seterusnya.”

Cristiano Ronaldo
Sumber Gambar: Reuters

Sebagai Duta Global, Ronaldo dijangka akan memainkan peranan penting dalam mempromosikan acara Esports World Cup, memberi sokongan moral kepada atlet-atlet e-sukan, dan membantu memperluas pengaruh sukan digital ini ke peringkat global.

Selain itu Ronaldo sebelum ini pernah dilantik menjadi duta khas negara tersebut ketika dia menyertai Al Nassr. Ronaldo memang menyokong banyak acara yang dianjurkan Arab Saudi.

Ronaldo perkuat lagi jenama EWC dan e-sukan

Ini termasuk acara seperti Riyadh Season musim lalu.

Dalam dunia e-sukan Ronaldo bukannya nama asing yang menyokong bidang tersebut. Dia aktif menyokong dunia e-sukan terutama sekali permainan digital melibatkan bola sepak.

Langkah ini dilihat sebagai satu pengiktirafan besar kepada dunia e-sukan yang kini semakin berkembang pesat dan diiktiraf sebagai cabang sukan profesional.

Dengan lebih 115 juta pengikut di X, penglibatan Ronaldo memberi nilai tambah yang sangat besar kepada acara ini dari segi publisiti dan kredibiliti. Beliau bukan sahaja ikon bola sepak, tetapi juga tokoh berpengaruh dalam budaya popular global.

Esports World Cup merupakan satu kejohanan e-sukan mega yang disokong oleh pelaburan besar dari Arab Saudi – sebuah negara yang turut menempatkan Ronaldo sebagai pemain kelab Al Nassr.

EWC mempertandingkan banyak acara e-sukan pelbagai konsol dan kategori.

Penglibatan Ronaldo sebagai duta turut menimbulkan spekulasi bahawa langkah ini juga sebahagian daripada usaha strategik negara itu dalam memperkukuh industri hiburan dan digital mereka.

Arab Saudi telah mengamalkan dasar lebih terbuka dalam beberapa tahun ini kepada acara hiburan dan sukan.