Cristiano Ronaldo menzahirkan penghargaan kepada peminat bola sepak di seluruh dunia selepas dirinya dipilih menerima pengiktirafan BOAT (Ballon d’Or of All Time).

Ballon d’Or yang dimenangi Ronaldo pada 2008 dianggap Ballon d’Or terbaik antara yang terbaik.

Menerusi hantaran di media sosial, kapten Portugal itu menegaskan bahawa bola sepak adalah milik peminat, sambil menyifatkan pengiktirafan yang diterimanya turut menjadi milik mereka.

“Bola sepak itu milik penyokong! Terima kasih kepada penyokong seluruh dunia. Ballon d’Or Of All Time [BOAT] juga milik anda semua,” kata Ronaldo.

Kenyataan ringkas itu membawa mesej penghargaan Ronaldo kepada jutaan peminat yang terus menyokong perjalanan kariernya, daripada awal kemunculannya di Sporting CP, kejayaan bersama Manchester United, Real Madrid dan Juventus, sehinggalah pengembaraannya bersama Al Nassr.

Sepanjang kariernya, Ronaldo membina legasi sebagai antara pemain paling berpengaruh dalam sejarah bola sepak. Koleksi trofi, rekod jaringan dan persaingan epiknya dengan Lionel Messi menjadikan namanya terus menjadi perbualan dalam kalangan peminat merentas generasi.

Walaupun pengiktirafan BOAT ini berbeza daripada anugerah Ballon d’Or tahunan yang diberikan kepada pemain terbaik berdasarkan penilaian bagi musim tertentu, gelaran tersebut membawa simbolik tersendiri dalam meraikan legasi Ronaldo.

Bagi Ronaldo, penghargaan itu bukan sekadar tentang pencapaian individu. Dia turut mengiktiraf peranan peminat yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang perjalanan kariernya.

Dalam bola sepak, trofi mungkin dimenangi oleh pemain, tetapi sokongan peminatlah yang menjadikan perjalanan seorang legenda lebih bermakna.