Cristiano Ronaldo hanya menerima penggantungan satu perlawanan berikutan kad merahnya ketika menentang Republik Ireland dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026.
Pemenang lima kali Ballon d’Or itu dilayangkan kad merah selepas menumbuk Dara O’Shea ketika situasi ‘off the ball’ dan sepatutnya menerima penggantungan tiga perlawanan atas tuduhan ‘tingkah laku ganas’.
Baca Juga:
- Sempat Cabar Penyokong Ireland Sebelum Perlawanan, Cristiano Ronaldo Kalah Dan Dibuang Padang

- Memenangi Piala Dunia Bukan Impian Cristiano Ronaldo, Sebab Ia Tidak Membuktikan Apa Apa

- Cristiano Ronaldo: ‘Saya Tak Setuju Messi Lebih Baik Daripada Saya’

Namun, jawatankuasa disiplin Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memutuskan untuk meringankan hukuman ke atas pemain berusia 40 tahun itu dan hanya dikenakan penggantungan satu perlawanan.
Ini bermakna Ronaldo sudah pun melalui penggantungan tersebut ketika Portugal membelasah Armenia 9-1 pada aksi terakhir tempoh hari.
Menurut sumber laporan Goal, hukuman Ronaldo turut termasuk penggantungan dua perlawanan bersyarat, yang akan dikuatkuasakan jika beliau didapati melakukan kesalahan serupa dalam tempoh 365 hari akan datang.
Kad Merah Pertama Di Peringkat Antarabangsa Buat Cristiano Ronaldo
Kad merah ketika menentang Republik Ireland merupakan yang pertama dalam karier antarabangsa Ronaldo, memandangkan kapten Portugal itu tidak pernah dilayangkan kad merah dalam 226 penampilan bersama pasukan kebangsaan.
Dilaporkan bahawa rekod disiplin yang bersih ini mungkin memainkan peranan besar dalam keputusan jawatankuasa disiplin FIFA.
Bagaimanapun, ini bukan kali pertama beliau dan O’Shea bertembung. Kapten Portugal dan pemain Ireland itu pernah berhadapan sebelum ini apabila bintang Al-Nassr itu dilihat menampar O’Shea pada tahun 2021.
Ketika itu, O’Shea turut jatuh, namun pengadil dan VAR terlepas pandang insiden tersebut membolehkan bintang berusia 40 tahun itu terlepas tanpa hukuman.
Kali ini, keadaan berbeza dan tindakan beliau akhirnya membawa kepada kad merah.