Cristiano Ronaldo dilaporkan menolak cadangan Persatuan Bola Sepak Portugal (FPF) untuk mengadakan satu perlawanan khas sebagai penghormatan terhadap karier antarabangsa beliau.
Keputusan itu agak mengejutkan kerana FPF sebelum ini menyatakan hasrat untuk mengadakan majlis atau perlawanan tribute bagi meraikan sumbangan luar biasa Ronaldo kepada bola sepak Portugal.
Menurut laporan media Portugal, Observador, Ronaldo tidak mempunyai perancangan untuk kembali menyarung jersi kebangsaan semata-mata bagi menjayakan perlawanan perpisahan tersebut.
Lebih menarik, Ronaldo juga dilaporkan tidak mahu mengadakan perbualan dengan ketua jurulatih Portugal, Jorge Jesus buat masa ini.
Satu panggilan telefon antara Ronaldo dan Jorge Jesus sebelum ini dikatakan dirancang dengan bantuan Presiden FPF, Pedro Proença. Namun, komunikasi tersebut akhirnya tidak berlaku.
Hubungan Ronaldo dan Jorge Jesus menjadi tegang selepas beberapa insiden ketika tugasan antarabangsa sebelum ini.
Ronaldo dilaporkan kecewa apabila tidak diturunkan langsung ketika Portugal menewaskan Norway. Beliau kemudian meninggalkan kem latihan kebangsaan sebelum dikenakan hukuman penggantungan selama 30 hari dan denda oleh FPF.
Walaupun begitu, FPF tetap mahu memberikan penghormatan sewajarnya kepada pemain berusia 41 tahun itu.
🚨🚨| NEW: Cristiano Ronaldo does NOT want to play a farewell match with Portugal. ❌️
While the Portuguese Federation wishes to organize a tribute for him, CR7 wouldn't want to return for one last match.
[@observadorpt] pic.twitter.com/fSj9avheOv
— Kalshi FC (@KalshiFC) November 5, 2026
Ronaldo menamatkan karier antarabangsa dengan rekod luar biasa, iaitu 234 penampilan dan 146 gol. Beliau juga membantu Portugal memenangi Euro 2016 serta tiga gelaran utama antarabangsa termasuk Liga Negara-Negara UEFA.
Buat masa ini, belum ada pengesahan rasmi bahawa Ronaldo menerima atau menolak sebarang bentuk majlis penghormatan selain laporan mengenai keengganannya bermain dalam perlawanan perpisahan.
Nampaknya, Portugal mungkin terpaksa meraikan legenda terbesarnya tanpa kehadiran CR7 di atas padang buat kali terakhir.