Bintang Chelsea asal Sepanyol, Marc Cucurella berpendapat bahawa amat sukar untuk mana mana pemain menolak tawaran dari Barcelona.
Pemain pertahanan kiri Chelsea itu mengakui bahawa beliau tidak menutup pintu untuk kembali ke bekas kelabnya, FC Barcelona, pada masa hadapan.
Marc Cucurella adalah bakat graduan La Masia. Namun sukar untuknya mendapatkan tempat ketika di Barca kerana ada Jordi Alba yang berada di kemuncak prestasi.
Cucurella berpendapa, peluang untuk kembali ke Barcelona adalah sesuatu yang “sukar untuk ditolak”, namun menegaskan bahawa ia bukan sesuatu yang akan berlaku dalam masa terdekat.
Menurutnya, keputusan seperti itu bukan hanya melibatkan dirinya, tetapi juga keluarga.
Beliau kini berasa gembira dengan kehidupannya di England bersama Chelsea dan tidak merancang sebarang perpindahan dalam masa terdekat.
“Tawaran dari Barcelona adalaj sesuatu yang sukar untuk ditolak.
“Sudah tentu anda sentiasa fikir untuk kembali. Tetapi saya sangat gembira di sini, dan keluarga saya juga. Mungkin dalam beberapa tahun lagi,” jelasnya ketika ditanya mengenai kemungkinan kembali ke Sepanyol.
Cucurella mempunyai hubungan rapat dengan Barcelona kerana beliau pernah melalui sistem pembangunan kelab tersebut sebelum memulakan karier profesionalnya di tempat lain.
Namun, beliau tidak sempat benar-benar menembusi skuad utama secara konsisten sebelum berpindah dan membina nama di kelab seperti Getafe, Brighton dan kini Chelsea.
Walaupun spekulasi perpindahan mula timbul, pemain berusia 27 tahun itu menegaskan bahawa fokus utamanya masih bersama Chelsea, di mana beliau kini menjadi pilihan utama di posisi bek kiri.
Kenyataan ini memberi gambaran bahawa sebarang kemungkinan kembali ke Barcelona hanyalah perancangan jangka panjang, bukannya sesuatu yang akan berlaku dalam masa terdekat.