Kecoh sejak semalam di media sosial apabila Facebook My Kuala Langat mendedahkan Arleyza Resources memaklumkan Semboyan Supermarket yang diusahakan oleh abang Yusuf Azmi, Asrul Azmi didakwa ‘culas’ membayar hutang pembekal sehingga lebih RM20,000.

Isu menjadi lebih panas apabila seorang lagi pembekal iaitu Tishas Frozen memaklumkan Yusuf Azmi tidak mahu bertanggungjawab membayar hutang serta tidak mahu membayar ganti rugi freezer mereka yang rosak.

Baca Juga:

Terbaharu, Facebook Yusuf Azm1 Semboyan Malaysia tampil memberi penjelasan penuh kepada pihak Arleyza Resources.

Menerusi penjelasan yang dibuat, difahamkan pihak Arleyza Resources yang pada mulanya memohon kepada pihak Semboyan Supermarket untuk meletak produk mereka.

Pihak Semboyan Supermarket yang memfokuskan kepada produk Bumiputera sedia menerima produk mereka dan proses pembayaran kepada pembekal berjalan dengan lancar sehinggalah pada saat akhir penutupan Semboyan Supermarket.

Pihak Semboyan Supermarket turut memaklumkan mereka hanya berhutang sekitar RM7,000 dan bukannya lebih RM20,000 seperti yang didakwa.

Mereka juga mengatakan pihak Arleyza Resources turut menaikkan harga produk sekaligus membuatkan mereka sukar menjual produk daripada syarikat tersebut.

Selain itu, Arleyza Resources dikatakan telah mendesak Semboyan Supermarket membayar ganti rugi produk mereka yang menghampiri tarikh luput meskipun tidak terjual.

Sehubungan dengan itu, pihak Semboyan Supermarket memaklumkan sedia memfailkan saman malu dan fitnah kepada Arleyza Resources atas dakwaan yang dibuat.

Semboyan Supermarket yang beroperasi selama setahun enam hari ini mengatakan mereka telah kerugian RM1.7 juta sepanjang pembukaan pasar raya berkenaan serta menjelaskan sudah membayar hutang kepada 170 pembekal dan berbaki cuma 30 pembekal sahaja lagi.

Pihak Semboyan Supermarket sedia mengambil tindakan Arleyza Resources yang dikatakan tiada toleransi dalam berurusan dengan perniagaan sesama Bumiputera.