Skuad negara terpaksa melupakan khidmat Darren Lok bagi menghadapi  dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz dan Chinese Taipei.

Penyerang Sabah itu sudah melapor diri di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam tetapi terpaksa dihantar pulang selepas doktor pasukan mengesahkan beliau mengalami kecederaan hamstring.

Baca Juga:

Berikutan kecederaan dialami, Darren menjadi pemain terbaharu yang terpaksa diketepikan selepas skuad negara kehilangan  Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi, Azam Azmi Murad dan Romel Morales.

Keadaan yang pastinya membuatkan ketua jurulatih, Kim Pan-gon pening kepala terutamanya dalam mencari pemain terbaik untuk mengisi posisi serangan.

Menurut kenyataan rasmi dikeluarkan laman Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Darren Lok telah digantikan dengan pemain sayap Kuching City, Nur Shamie Iszuan Amin yang sebelum ini berada dalam senarai bersedia.

Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk perlawanan kelima Kumpulan D menentang Republik Kyrgyz pada Khamis, 6 Jun 2024 di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek sebelum terbang pulang bagi perlawanan keenam bertemu Chinese Taipei di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 11 Jun 2024.

Sementara dua lagi pertembungan lain dalam Kumpulan D menyaksikan Chinese Taipei bertemu Oman di Taipei pada 6 Jun 2024 sebelum Oman menanti kunjungan Republik Kyrgyz di Muscat pada 11 Jun 2024.

Selepas mengharungi empat perlawanan, Malaysia kini berada ditangga ketiga dengan enam mata hasil dua kemenangan dan dua kekalahan.

Skuad Harimau Malaya ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu kumpulan, Krygyzstan dan Oman yang terikat sembilan mata.

 

Sumber