Penyanyi nombor satu negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza akhirnya selamat melahirkan bayi perempuan di salah sebuah hospital di ibu kota pada jam 8.17 pagi tadi.

Berita gembira yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia telah dikongsikan oleh pihak pengurusan beliau di di laman sosial Instagramnya, penyanyi tersebut selamat melahirkan bayi perempuan seberat 3.55 kilogram secara pembedahan. Menurut kenyataan tersebut juga, Dato’ Sri Siti dan bayi berada dalam keadaan baik dan hanya keluarga terdekat sahaja dibenarkan melawat.

Penyanyi tersebut sebelum ini berkongsi berita kehamilan beliau pada bulan Oktober yang lepas setelah menanti selama 11 tahun usia perkahwinannya dengan usahawan terkenal Dato’ Sri Khalid Mohamad Jiwa, untuk dikurniakan cahaya mata sulung mereka.

Gambar yang dimuat naik tersebut menerima 300 ribu like dan dibanjiri dengan hampir 29 ribu komen dari rakan artis dan peminat yang mengucapkan selamat dan syukur atas berita gembira tersebut. Alhamdulillah dan tahniah diucapkan buat pasangan Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan suami.