Bagi seorang atlet tanpa mengira lapisan usia, kejayaan di gelanggang sememangnya menjadi sesuatu yang cukup bermakna. Namun buat Rex Lim, kejayaan terbaharunya mempunyai satu lagi nilai istimewa apabila dia dapat menunaikan janji kepada insan yang membimbingnya.

Menurut sumber Nusa Mahsuri, Rex telah menghadiahkan sebuah televisyen (TV) berjenama Skyworth kepada sifunya, Datuk Misbun Sidek selepas muncul juara dalam dua acara pada Kejohanan Badminton Skyworth (Kelantan) yang berlangsung di Kota Bharu baru-baru ini.

Hadiah tersebut bukanlah sesuatu yang dirancang selepas kejayaan dicapai, sebaliknya sudah menjadi janji Rex kepada legenda badminton negara itu sekiranya dia berjaya membawa pulang gelaran juara.

Janji Rex Lim Buat Datuk Misbun Sidek

“Saya sudah berjanji mahu memberi salah satu hadiah kemenangan iaitu TV Skyworth sekiranya berjaya jadi juara kepada Datuk Misbun.”

“Segala susah payah bangun awal pagi dan menurut apa arahan dalam latihan akhirnya berjaya membuahkan hasil. Bukan satu tetapi dua kejuaraan menerusi acara perseorangan dan beregu lelaki.”

“Saya ucap terima kasih kepada Datuk Misbun dan coach Misbun Shawal kerana sudi melatih saya. Begitu juga buat kedua ibu-bapa saya yang sanggup berkorban segala demi kejayaan ini,” kata Rex.

Usaha Rex ternyata berbaloi apabila dia berjaya merangkul dua kejuaraan dalam kategori Bawah 11 Tahun.

Dalam acara perseorangan lelaki Bawah 11 Tahun (BSU 11), Rex menewaskan Nik Muhammad Lutfan Hakim Hazli dengan keputusan 15-8, 16-14 dalam tempoh 23 minit.

Rex kemudian melengkapkan kejayaan bergandanya dalam acara beregu lelaki Bawah 11 Tahun (BDU 11) bersama Aiden Lim apabila mereka menewaskan pasangan Meor Ammar Fawwaz Meor Ahmad Tarmizi/Nazrin Nazran Mohd Shahril 15-9, 15-8 dalam masa 20 minit.

Menariknya, sebuah lagi televisyen yang dimenangi Rex turut mempunyai penerima yang sudah ditetapkan.

Menurut Rex Lim, TV berkenaan akan diberikan kepada ibu bapanya sebagai tanda penghargaan terhadap segala pengorbanan mereka sepanjang perjalanan kariernya.

Bagi Misbun pula, hadiah tersebut menjadi bukti bahawa kata-kata yang pada awalnya mungkin sekadar gurauan ketika latihan benar-benar diambil serius oleh anak didiknya.

Misbun mengakui dirinya tidak menyangka Rex akan benar-benar menunaikan janji tersebut selepas berjaya muncul juara.

“Sebenarnya waktu latihan, dia ada memberitahu akan menghadiahkan sebuah TV kepada saya jika jadi juara.”

“Maka sebab itu, dia bersungguh-sungguh untuk mengotakan janjinya itu,” tegas Misbun.

Kisah Rex Lim ini membuktikan bahawa kejayaan dalam gelanggang bukan sekadar tentang pingat dan trofi tetapi turut menjadi peluang untuk menghargai insan yang sentiasa berada di belakang perjalanan seorang atlet.

Sumber