Bekas penjaga gol Manchester United, David De Gea menolak tawaran lumayan yang diberikan oleh kelab Arab Saudi, Al-Nassr selepas mendengar pendapat isterinya mengenai tawaran tersebut.

Menurut perkongsian Transfer News Live di laman X, De Gea menolak tawaran kontrak sebesar £500,000 seminggu dari Al-Nassr dan peluang untuk kembali beraksi bersama Cristiano Ronaldo kerana isterinya enggan berpindah ke negara yang mempunyai peraturan ketat seperti Arab Saudi.

Baca Juga:

Selain itu, penjaga gol berusia 33 tahun itu kini dikaitkan dengan kelab yang beraksi dalam saingan Major League Soccer (MLS) iaitu Inter Miami yang turut diperkuatkan oleh Lionel Messi.

Meskipun memenangi anugerah Golden Glove musim lalu, David De Gea lebih memilih untuk meninggalkan United dan kelab itu kemudiannya mendapatkan Andre Onana yang mana sesuai dengan kemahuan Erik ten Hag dimana beliau mahu penjaga gawang yang mahir mengawal bola.

Selepas 12 musim bersama United, De Gea telah beraksi 545 perlawanan dengan mencipta 190 ‘clean sheets’ yang menyaksikan beliau menjadi pemain terbaik Manchester United bagi empat musim.

Bayern Munich dan Real Madrid antara kelab yang berminat dengan De Gea namun kedua-dua pasukan kemudiannya membatalkan niat untuk mendapatkan penjaga gol itu dimana Bayern memberikan peluang kepada Sven Ulreich bagi menjadi penjaga gawang utama manakala Real Madrid menandatangani Kepa Arrizabalaga secara pinjaman dari Chelsea.

Menurut laporan Daily Records, David De Gea mahu mendapatkan gaji sekitar £8.7 Juta setahun selepas cukai dan perkara ini membuatkan beberapa kelab di Eropah enggan untuk mendapatkan penjaga gol itu.

Setelah mengumpulkan beberapa pemain bintang seperti Messi, Jordi Alba dan Sergio Busquets, besar kemungkinan De Gea memilih untuk menyertai Inter Miami dimana beliau bakal beraksi dengan bekas rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan Sepanyol.