Yan Diomande antara pemain yang sentiasa ceria dan penuh dengan senyuman di wajahnya. Dia seorang pemain yang selalu menghiburkan peminat dengan aksi di atas padang dan telatahnya di luar padang.

Namun pada hari ini, Yan Diomande telah membuatkan jutaan peminat bola sepak mengalirkan air mata.

Diomande mewakili Ivory Coast pada Piala Dunia 2026. Ia lebih daripada sekadar mewakili negaranya, kerana pada masa yang sama Yan Diomande mendedikasikan kejayaan itu buat mendiang adiknya Roxane.

Diomande menulis:

Roxane yang dikasihi,

Masih ingat apabila seseorang membelikan aku jersi Manchester United tiruan, dan aku menulis ‘Ronaldo 7’ di belakangnya menggunakan marker hitam?

Kita tidak mengenal apa itu kaya atau miskin. Kita hanya mengenal bahagia.

Masih ingat ketika 25 orang tidur dalam sebuah rumah di Abidjan? Mak mahu menonton drama kegemarannya. Yang lain pula mahu menonton filem.

Aku selalu berpura-pura tidur, kemudian diam-diam masuk ke ruang televisyen selepas tengah malam. Aku membuka televisyen perlahan-lahan, mungkin hanya dua bar volume. Aku menonton bola sepak dalam gelap sambil berangan.

Masih ingat apabila orang dewasa melihat aku bermain bola di tanah merah dan memanggil aku ‘Roberto Carlos’ kerana tendanganku kuat? Dan kau tahu, sebenarnya aku berasa geram kerana idola aku ialah CR7.

diomande
Foto: IG Yan Diomande

Masih ingat apabila aku pergi bermain jauh dari rumah pada usia sembilan tahun? Di Inter Foot Sud Comoé, berhampiran sempadan Ghana.

Seorang budak kecil yang hidup bersendirian. Aku tidak pasti sama ada pernah aku ceritakan atau tidak, tetapi aku dan budak-budak lain sering memasuki kampung dan mencuri kentang kerana terlalu lapar.

Kami melakukannya seperti sebuah rompakan bank. Dua orang budak mengalihkan perhatian pemilik kedai, manakala 18 yang lain melarikan dua biji kentang.

Kentang itu bukanlah sedap sangat. Namun rasanya luar biasa.

Sehingga hari ini, kentang rebus dengan sedikit minyak masih menjadi makanan kegemaran aku. Ia sentiasa mengingatkan aku kepada waktu itu.

Masih ingat apabila aku mendapat but bola sebenar yang pertama?

Aku bahkan tidur dengannya. Ketika kecil, aku selalu bermain menggunakan selipar plastik putih. Sehingga hari ini, setiap kali pulang ke kampung, aku masih bermain dengan selipar itu.

Itulah tradisi kita.

Masih ingat apabila aku pulang ke rumah dan kau memberitahu rakan-rakanku:

“Mengapa kamu berhenti berlatih? Yan tidak akan membelikan kamu kereta. Kamu perlu terus berusaha.”

Kau baru berusia 10 tahun, tetapi sudah bertindak seperti ejen aku.

Masih ingat apabila kita duduk bersama dan berangan untuk berpindah ke Perancis?

Kita mahu pergi membeli-belah, memiliki apartmen sendiri, dan aku akan menjadi pemain bola sepak yang kaya dengan kereta serta rumah besar supaya kau tidak perlu lagi risau tentang apa-apa.

Kau satu-satunya yang percaya aku boleh menjadi Cristiano Ronaldo yang seterusnya ketika orang lain mentertawakannya.

Masih ingat apabila aku berpindah ke Amerika pada usia 15 tahun untuk melanjutkan pelajaran di sekolah menengah dan terlalu merindui rumah?

Berbulan-bulan aku tidak memahami apa yang diperkatakan oleh orang di sekeliling. Mereka meletakkan aku di sebelah seorang budak Perancis yang cuba menterjemahkan apa yang disampaikan oleh guru.

Masih ingat apabila aku menelefon kau dan berkata:

“Kau tidak akan percaya. Budak-budak di sini boleh berdebat dengan guru!”

Di tempat kita, memandang orang yang lebih tua terlalu lama pun tidak berani.

Masih ingat apabila aku terkejut melihat budak-budak merokok selepas waktu sekolah? Kau berkata bunyinya seperti aku tinggal dalam sebuah siri televisyen Amerika.

Masih ingat apabila aku menjalani sesi percubaan bersama Bournemouth, Chelsea, Rangers, Olympiacos dan Crystal Palace?

Malah Eberechi Eze dan Michael Olise datang kepadaku selepas latihan lalu berkata:

“Budak, kau memang bagus.”

Namun mereka tetap tidak menandatangani aku. Malah pasukan simpanan dalam MLS juga tidak mahukan aku.

Aku tidak pernah tahu sebabnya.

Tiada siapa memberikan penjelasan. Orang dewasa yang menguruskan segala-galanya. Mereka membawa aku ke seluruh Eropah, dan setiap kali jawapannya tetap sama.

Tidak.

Visa aku tamat tempoh.

Impian aku berakhir.

Mereka menghantar aku pulang ke Afrika, dan kita menangis bersama.

Tetapi kau tidak pernah berhenti percaya.

Beberapa minggu kemudian aku menandatangani kontrak bersama Leganes, dan kali ini kita menangis dengan air mata yang berbeza.

Itulah waktu aku masih mempunyai perasaan.

Kini aku tidak lagi merasakan apa-apa.

Sejak kau pergi, aku berasa kosong.

Seolah-olah aku bukan lagi manusia.

Aku tidak fikir aku menangis pun pada hari mereka memberitahu bahawa kau sudah tiada.

Aku hanya terkejut.

Beberapa minggu sebelum itu, aku baru membuat penampilan pertama bersama Leganes menentang Real Madrid.

Bayangkan.

Debut pada usia 18 tahun menentang Real Madrid.

Ia seperti sebuah mimpi.

Kemudian mimpi itu bertukar menjadi mimpi ngeri.

Seseorang berkali-kali menghubungi aku dari kampung.

Aku marah kerana mereka tidak berhenti menelefon.

Akhirnya aku menjawab.

Mereka tidak cuba menyampaikan berita itu dengan cara yang lebih lembut.

Kau tahu bagaimana budaya kita.

Tiada emosi.

“Adik perempuan kanu sudah tiada.”

“Apa?”

“Dia meninggal dunia.”

“Apa yang kamu katakan?”

“Seseorang memasukkan sesuatu ke dalam minumannya di sebuah parti. Dia tidak pernah bangun lagi. Dia sudah tiada.”

Kau baru berusia 15 tahun.

15 tahun.

Aku tidak pernah memperoleh jawapan.

Aku tidak tahu sama ada aku mahu mengetahuinya atau tidak.

Mungkin kerana cemburu.

Mungkin memang begitulah kehidupan di negara kita.

Mungkin aku sepatutnya melindungi kau.

Roxane
Foto; IG Yan Diomande

Aku tidak tahu.

Aku hanya cuba percaya kepada perancangan Tuhan.

Itu sahaja yang mampu aku lakukan.

Aku tidak cuba melupakan kau kerana aku tahu aku tidak akan mampu.

Aku hanya menggunakan kesakitan ini untuk bekerja lebih keras dan mencapai semua impian yang pernah kita bincangkan bersama.

Aku menulis surat ini kerana aku tidak mampu bercakap mengenainya.

Aku menulis surat ini supaya kau tahu bahawa aku akan memastikan namamu terus hidup.

Aku akan memastikan seluruh dunia mengenali Roxane.

Segala yang aku lakukan di atas padang adalah untukmu.

Banyak perkara telah berlaku sejak kali terakhir kita bertemu.

Kau pasti tidak akan percaya.

Malah aku sendiri kadang-kadang sukar untuk mempercayainya.

Kau tahu apa yang lucu?

Selepas debut menentang Madrid, aku bertukar jersi dengan Kylian Mbappe.

Masih ingat ketika kita menontonnya di televisyen dan kau selalu berkata:

“Mbappé memang hebat. Tetapi abang aku lebih hebat.”

Aku silap tentang satu perkara.

Aku tidak mahu menjadi kaya.

Aku sudah melihat apa yang wang mampu lakukan kepada manusia, malah kepada keluarga sendiri.

Semasa di Leganés, hampir keseluruhan pendapatan aku dihantar pulang ke rumah.

Sampai satu tahap, aku tidak lagi mahukan wang.

Ia terasa seperti satu beban.

Mereka tidak pernah berhenti meminta.

Mungkin mereka menyangka aku sudah menjadi jutawan.

Sedangkan aku sendiri tidak memiliki apartmen.

Aku tinggal di pusat latihan dalam sebuah bilik tanpa televisyen.

Hanya bola sepak dan tidur.

Bola sepak dan tidur.

Aku tidak mahukan rumah besar.

Aku tidak mahukan kereta.

Aku hanya mahu memberikan segala-galanya kepada bola sepak supaya dunia tahu bahawa adik aku benar…

Haha, kau pasti ketawa mendengarnya.

Semasa aku berpindah ke RB Leipzig, aku selalu dianggap ‘lambat’.

Padahal aku sebenarnya tidak lambat.

Aku cuma tiba tepat pada waktunya.

Dan di Jerman, itu sudah dianggap lambat.

Jadi kau tahu apa yang aku lakukan?

Aku mula datang 90 minit lebih awal untuk setiap perkara.

Aku datang terlalu awal setiap hari sehingga rakan-rakan memanggil aku “The German”.

Aku memang sentiasa berlebihan dalam segala hal.

Kau selalu berkata begitu.

Padang bola sepak ialah satu-satunya tempat yang masih membuatkan aku berasa seperti di rumah.

Di situlah aku berasa tenang.

Di situlah aku boleh bercakap dengan kau.

Dan aku cuma berharap kau masih ada untuk aku memberitahu satu perkara…

Kita berjaya.

Segala yang pernah kau katakan menjadi kenyataan.

Esok kami akan berangkat ke Piala Dunia.

Ya, benar.

Abang kau akan bermain untuk Côte d’Ivoire seperti Didier Drogba, Yaya Touré dan Gervinho.

Aku tidak melihatnya sekadar sebagai sebuah permainan.

Aku melihatnya sebagai sebuah pentas.

Inilah peluang aku untuk menunjukkan kepada dunia apa yang kau lihat dalam diriku.

Setiap kali aku menjaringkan gol, aku akan memastikan semua orang mengenali namamu.

Aku akan memastikan mereka tidak melupakan kau.

Kau selalu berkata aku boleh menjadi lebih hebat daripada Cristiano Ronaldo.

Jika aku bertemu dengannya di sana nanti, aku akan menyampaikan salam daripadamu.

Aku akan membuktikan bahawa ramalan kau benar.

Sebelum aku memiliki but bola sebenar sekalipun, kau sudah memberitahu semua orang:

“Abang aku akan menjadi pemain terbaik di dunia.”

Aku akan membuktikan bahawa kau betul.

Atau aku akan mati ketika mencubanya.

Daripada abangmu,

Yan ❤️🥀”