Pengurus Perancis, Didier Deschamps menggesa barisan anak buahnya supaya kekal merendah diri menjelang perlawanan kalah mati Piala Dunia menentang skuad kebangsaan Sweden, jam 5.00 pagi esok.

Berdasarkan statistik perlawanan itu bakal menjadi pertemuan ke-24 antara kedua-dua pasukan yang menyaksikan Perancis mencatatkan 12 kemenangan manakala enam aksi memihak Sweden.

Namun, ia hanya pertemuan ketiga di kejohanan besar dan yang pertama di Piala Dunia.

Dua pertemuan terdahulu mereka di kejohanan besar berakhir dengan keputusan seri 1-1 pada EURO 1992 dan kemenangan 2-0 Sweden pada EURO 2012.

Perancis telah memenangi setiap enam perlawanan Piala Dunia terakhir mereka menentang pasukan Eropah dimana tiada pasukan dalam sejarah kejohanan pernah mencatatkan tujuh kemenangan berturut-turut ke atas pasukan UEFA.

Keyakinan dalam kem Perancis juga tinggi selepas memenangi ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan buat pertama kali sejak 1998, namun Deschamps menegaskan mereka perlu mengekalkan fokus.

Deschamps Hormati Sweden

“Sweden bukan bermain untuk bertahan sahaja. Jelas mereka akan melakukan segala-galanya untuk menang, tetapi mereka tidak rugi apa-apa pun,”  kata Deschamps menurut sumber laporan Bein Sports.

“Kami perlu kekal merendah diri, mengekalkan keazaman dan fokus. Dalam peringkat kumpulan, kemenangan perlawanan pertama memberi kami sedikit ruang untuk kesilapan tetapi sekarang kami tiada peluang kedua.”

“Kami hanya perlu kekal yakin tetapi kini semuanya bermula semula dari kosong. Kami yakin, tetapi kami tahu tahap kualiti lawan juga akan meningkat.”

Sumber