Perancis menang 4-1 ke atas Norway dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Dunia 2026 untuk menamatkan saingan sebagai juara kumpulan I.
Norway yang sudah mengesahkan tempat ke pusingan 32 dengan lebih awal berada di kedudukan kedua.
Norway melakukan 10 pertukaran pemain daripada kesebelasan utama yang menewaskan Senegal dengan Erling Haaland, Martin Odegaard dan Orjan Nyland semuanya bermula di bangku simpanan.
Keputusan jurulatih Stale Solbakken itu mungkin memberi manfaat kepada peluang Norway dalam kejohanan ini,kerana mereka kini berkemungkinan berdepan Ivory Coast pada pusingan seterusnya.
Ini bermakna mereka berjaya mengelakkan pertemuan dengan Sweden, yang kini menjadi calon utama untuk menentang Perancis pada pusingan 32 terakhir selepas Les Bleus muncul juara kumpulan.
Namun lebih mencuri tumpuan ialah FIFA telah dituduh membuat keputusan yang memalukan menjelang perlawanan tersebut.
FIFA Tolak Permintaan Perancis
Menurut sumber Sport Bible, Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) telah memaklumkan sebelum perlawanan bahawa satu minit bertafakur akan diadakan bagi menghormati mendiang ibu kepada pengurus pasukan, Didier Deschamps.
Namun, hanya beberapa minit kemudian, FFF mengeluarkan penjelasan bahawa upacara bertafakur selama satu minit itu sebenarnya telah dijadualkan lebih awal bagi memperingati mangsa-mangsa gempa bumi di Venezuela.
Susulan itu, FFF memohon kebenaran untuk memakai lilitan hitam di lengan sebagai tanda berkabung, namun permohonan tersebut ditolak oleh FIFA.
Tindakan FIFA itu mengundang kritikan ramai penyokong bola sepak yang menyifatkan badan induk tersebut tidak menunjukkan rasa hormat terhadap situasi yang dihadapi Deschamps.