Pengurus Girona, Miguel Angel Sanchez Munoz atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Michel’ tetap merendah diri walaupun anak buahnya berjaya mengejutkan Barcelona 4-2 pada aksi La Liga 2023/24, awal pagi tadi.
Kemenangan manis yang dicipta serta keputusan seri diraih Real Madrid menyaksikan Girona kini berkelebihan dua mata dihadapan pencabar terdekat itu untuk menghuni tangga teratas liga selepas mengharungi 16 perlawanan.
Baca Juga:
- Barcelona Mahu Tamatkan Kerjasama Bersama Nike
- Dikaitkan Dengan Manchester City, Tetapi Lionel Messi Masih Dalam ‘Group’ WhatsApp Barcelona
- Ini Cara Barcelona ‘Menghalau’ Kenderaan Daripada Bersesak Di Tengah Bandar
Malah dengan kejayaan menundukkan Barcelona itu, sudah kedengaran cakap-cakap yang mengatakan anak buah Michel mampu untuk menjuarai saingan liga musim ini.
Namun, Michel jelas tidak terbuai dengan pujian tersebut walaupun sudah pastinya gembira dengan apa yang telah dipamerkan anak buahnya.
Sebaliknya, beliau turut lebih bersikap realistik terhadap peluang skuad kendaliannya untuk kekal konsisten.
“Saya gembira dengan persembahan yang ditampilkan oleh pasukan ini. Saya tidak tahu apakah kami mampu untuk mengekalkan tahap seperti Barcelona, Real Madrid dan Atletico Madrid sepanjang musim.”
“Tetapi, persembahan pada perlawanan ini [bertemu Barcelona] membuatkan saya gembira. Hari ini ada segelintir penyokong Girona, ramai orang mengatakan bahawa ‘para pemain ini bermain bola sepak dengan baik.”
“Saya tak tahu apakah kami mampu untuk menjuarai La Liga. Itu bukan sasaran kami,” ujar Michel menurut laporan yang dikeluarkan Goal Indonesia.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Olimpik Lluis Companys itu, Artem Dovbyk membuka tirai jaringan buat Girona pada minit ke-12 manakala Robert Lewandowski menyamakan kembali kedudukan berselang lima minit kemudian.
Segalanya serba tidak menjadi buat tuan rumah hingga menyaksikan Girona menambah dua jaringan menerusi Miguel Gutierrez pada minit ke-40 dan Valery Fernandez (minit ke-80).
Ilkay Gundogan memberikan sedikit harapan pada minit ke-92 tetapi Cristhian Stuani memastikan kemenangan 4-2 memihak Girona menerusi gol minit ke-95.