Bekas pembantu peribadi (PA) kepada penyanyi Mizz Nina, Nur Haniza Mohd Azhar dilaporkan bakal mengambil tindakan undang-undang selepas diberhentikan kerja secara tidak adil tanpa alasan kukuh.
Memetik laporan portal mStar, Haniza diberhentikan sebagai pembantu peribadi selepas 11 tahun berkhidmat untuk penyanyi itu.
Baca Juga:
- ‘Kami Semua Tahu Kebenaran’ – Fynn Jamal Sindir Suami Mizz Nina Isu Hak Penjagaan Musa?
- ‘Nama Penuh Musa Yang Tular Sebelum Ini Adalah Palsu’ – Suami Mizz Nina
- Noh Salleh Dakwa Dianiaya Dan Terkejut Mizz Nina Tarik Kes Penjagaan Anak
Difahamkan Haniza mendapat bayaran RM3,500 sebulan, namun dia tidak pernah diberikan kontrak kerja bertulis, kenaikan gaji, bonus atau elaun. Pada masa sama caruman PERKESO tidak pernah dibuat oleh artis itu.
Tambah portal itu lagi, surat pemberhentian kerja juga telah dikeluarkan pada 6 Mac lalu.
Peguam yang mewakili Haniza, Mohamad Nasruddin Ab Rahman berkata, sehingga kini anak guamnya masih belum menerima sebarang pampasan seperti yang dijanjikan dalam surat pemberhentian (30 April, hari terakhir bekerja).
“Surat pemberhentian itu diberi pada 6 Mac lalu, jadi bayaran gaji pada Mac dan April perlu dibuat seolah-olah dikira dia masih bekerja.
“Apabila pihak Nina menyerahkan surat penamatan pekerjaan, mereka berjanji membayar pampasan sebelum 30 April.
“Dalam surat itu Mizz Nina atau nama sebenarnya Sharina Azman, 44, bersedia memberikan sejumlah wang pampasan, pindah milik nama bagi kereta jenis Suzuki Swift dan bayaran pampasan akan dibuat pada 30 April lalu,” ujar Mohamad Nasruddin.
Namun anak guamnya, masih belum dapat apa-apa bayaran.
Nasruddin berkata Haniza boleh mengambil tindakan undang-undang walaupun tidak pernah diberikan kontrak kerja secara bertulis. Ini kerana kedua-duanya mempunyai hubungan sebagai majikan dan perkerja.
“Disebabkan itu anak guam saya bercadang untuk mengambil tindakan kerana diberhentikan kerja secara tidak adil,” terangnya.
Petik laporan portal itu lagi, sebelum ini kedua-duanya pernah mengadakan perbincangan, bagaimanapun syarat yang diberikan Mizz Nina tidak dipersetujui Haniza kerana disifatkan berat sebelah pihak.
Nasruddin berkata pihaknya akan membuat laporan aduan ke Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPP).
“Laporan perlu dibuat dalam tempoh 60 hari dari tarikh akhir bekerja. Sekarang kami ingin pihak Nina mengambil maklum tentang perkara ini.
“Difahamkan Nina juga tidak berada di Malaysia kerana selepas aduan dibuat JPP akan memberi satu tarikh untuk perbincangan kedua belah pihak,” katanya.