Pada akhir bulan Julai lalu, tular rakaman video sekumpulan konvoi Lamborghini memandu secara berbahaya. Polis Johor telah membuka kertas siasatan dan menyita kelima-lima kereta yang terlibat.

Salah seorang pemandu Lamborghini yang bergelar ‘Datuk’ dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini pada Khamis, 11 Ogos atas pertuduhan memandu secara berbahaya di Lebuhraya Senai-Desaru.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Tertuduh, Lim Thean Seng, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Rashidah Baharom, petik Sinar Harian.

Mengikut pertuduhan, warga emas itu didakwa memandu kereta Lamborghini Huracán di jalan raya dengan cara berbahaya kepada orang awam di Kilometer (KM) 54.4 hingga KM 55.5 Jalan Lebuhraya Senai – Desaru, di sini kira-kira jam 10 pagi, 29 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan tidak lebih RM15,000, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut dihadapkan dengan pertuduhan pilihan iaitu memandu kenderaan mewah itu secara gopoh hingga mungkin menyebabkan bencana kepada seseorang yang lain di lokasi, waktu dan tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Khairuddin Khalid manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Syakirin Syazwan Mohd Nayan.

Sebelum itu, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000, namun Mohd Syakirin Syazwan memohon kadar minimum kerana anak guamnya menghidapi banyak komplikasi kesihatan.

Mohd Syakirin Syazwan berkata, anak guamnya yang merupakan ahli perniagaan itu mempunyai penyakit kencing manis dan pernah melakukan dua kali pembedahan jantung selain pernah mengalami strok sebelum ini.

Dalam masa yang sama, anak guamnya itu perlu menjalani pemeriksaan kesihatan setiap bulan di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan 5 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Insiden yang berlaku itu turut menarik perhatian DYAM Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan baginda menyelar tindakan sebahagian ahli konvoi terbabit memandu secara berbahaya.