Seorang wanita mendakwa hidupnya kini dibelenggu tekanan selepas masih dituntut membayar hutang sebanyak RM162,000 walaupun sudah menjelaskan kira-kira RM140,000 bagi pinjaman asal RM100,000 daripada sebuah syarikat kredit komuniti berlesen.

Dipetik daripada laporan Sinar Harian, Wanita berusia 36 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Fina berkata, pinjaman tersebut dibuat pada tahun 2015 bagi membantu perniagaan keluarganya.

Namun, dia mendakwa hanya menerima sekitar RM92,000 selepas pelbagai potongan dibuat, walaupun jumlah pinjaman yang dipohon adalah RM100,000.

Lebih mengejutkan, Fina mendakwa dokumen perjanjian yang ditandatanganinya memaparkan jumlah pinjaman RM200,000. Apabila dia mempersoalkan perkara itu, syarikat terbabit didakwa memaklumkan angka tersebut hanyalah untuk tujuan rujukan dalaman.

Menurutnya, selepas membayar hampir RM140,000, dia gagal membuat bayaran selama dua bulan kerana menjaga ibunya yang menjalani pembedahan.

Walaupun telah memohon penangguhan ansuran, dia mendakwa tidak menerima sebarang maklum balas sebelum dikenakan tindakan mahkamah dan dituntut membayar baki RM162,000.

Fina turut mendakwa pernah mengalami gangguan termasuk rumahnya dibaling cat merah dan didatangi individu tidak dikenali apabila bayaran tertunggak.

Lebih membebankan, rumah miliknya di Rawang yang bernilai lebih RM500,000 didakwa dikenakan kaveat sehingga menghalangnya menjual aset tersebut bagi menyelesaikan hutang.

Kes itu juga menyebabkan dia terpaksa berulang-alik dari Perak ke Kuala Lumpur untuk menghadiri prosiding mahkamah, selain mengeluarkan kira-kira RM30,000 bagi kos guaman.

“Saya bukan tidak mahu bayar. Saya cuma mahukan penyelesaian yang adil. Janganlah minta jumlah yang tidak munasabah,” katanya ketika menyerahkan memorandum kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Putrajaya.

Sementara itu, Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional (PKIPN) mendakwa pihaknya turut menerima beberapa aduan lain membabitkan syarikat pemberi pinjam wang berlesen yang disyaki menyalahgunakan lesen serta tidak mematuhi syarat ditetapkan.