Pemain tengah skuad kebangsaan Brazil, Douglas Luiz semakin menghampiri perpindahan ke kelab gergasi saingan Serie A, Juventus.

Beliau yang turut merupakan tonggak Aston Villa itu difahamkan bakal memeterai kontrak selama lima tahun dengan yuran perpindahan bernilai £21 juta.

Baca Juga:

Sehubungan dengan itu, Villa akan mendapat khidmat dua pemain Juventus iaitu Samuel Iling Junior dan Enzo Barrenechea sebagai sebahagian daripada transaksi berasingan bernilai £19 juta.

Musim lalu, Barrenechea telah dipinjamkan ke Frosinone serta telah membuat lima penampilan untuk Juventus manakala Iling-Junior bermain 27 kali untuk kelab itu.

Menurut sumber laporan Goal, Luiz akan menjalani pemeriksaan kesihatan di Amerika Syarikat memandangkan beliau turut bersama skuad Brazil dalam kempen Copa America 2024 di sana.

Lebih menarik untuk diperkatakan, Douglas Luiz tidak akan berseorangan di Turin nanti kerana kekasihnya, Alisha Lehmann turut bakal memperkuatkan skuad wanita Juventus.

Sama seperti teman lelakinya, Lehmann yang merupakan pemain skuad kebangsaan Switzerland dan Aston Villa juga hanya dalam fasa menunggu pemeriksaan kesihatan bersama The Old Lady.

Aston Villa terpaksa untuk melepaskan pemain utama mereka dalam usaha untuk mematuhi peraturan keuntungan dan kemampanan (PSR) setelah kelab itu melaporkan kerugian sebanyak £119m juta sehingga 31 Mei 2023.

Kelab yang bakal beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2024/25 itu sudah menjual Tim Iroegbunam ke Everton dengan harga £9 juta manakala Chelsea pula semakin hampir mendapatkan Omari Kellyman dengan £19 juta.

Sumber