Manchester United mempamerkan kebangkitan hebat dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2023/24 untuk menundukkan Aston Villa 3-2 pada aksi yang berlangsung di Old Trafford, sebentar tadi.

Beraksi di laman sendiri, Manchester United bagaimanapun tersentak pada minit ke-22 selepas sepakan percuma John McGinn melantun di hadapan pintu gol tidak mampu diselamatkan penjaga gol, Andre Onana untuk memberikan kelebihan awal buat Aston Villa.

Baca Juga:

Anak buah Unai Emery itu terus cemerlang berselang empat minit kemudian apabila sepakan penjuru McGinn terus mencari Clement Lenglet yang memberikan ruang buat Leander Dendocker untuk menguis bola bagi menewaskan Onana.

Tersentak dengan dua jaringan tersebut, Marcus Rashford mendapat tiga peluang terbaik untuk merapatkan defisit jaringan.

Namun, percubaan dilakukannya berjaya diselamatkan Emiliano Martinez pada minit ke-31 dan 35 manakala rembatan kaki kiri susulan larian deras ke kawasan penalti lawan pada lewat babak pertama pula hanya singgah di tepi jaring gol.

Alejandro Garnacho mendapat peluang untuk menghasilkan jaringan pada minit ke-48 tetapi gol dihasilkannya dibatalkan selepas pengadil perlawanan, Craig Pawson mendapatkan rujukan Video Assistant Referee (VAR).

Kehampaan itu ditebus Garnacho pada minit ke-59 apabila beliau menolak masuk bola hasil hantaran lintang daripada Rashford untuk merapatkan defisit jaringan.

Seminit kemudian Aston Villa hampir melebarkan kembali kedudukan, namun percubaan Leon Bailey selepas menerima hantaran lintang Alex Moreno dinafikan Onana.

Bagaikan mendapat tonik berguna susulan jaringan pertama itu, Garnacho sekali lagi membuktikan kemampuannya dengan percubaan yang membias terkena pertahanan lawan lalu menewaskan Martinez pada minit ke-71.

Tidak cukup dengan itu, Manchester United yang ketandusan kemenangan pada empat perlawanan terakhir akhirnya berjaya menamatkan penantian tersebut.

Ia berikutan jaringan kemenangan yang diledakkan Rasmus Hojlund  susulan kesilapan McGinn dalam kawasan penalti untuk mengesahkan kebangkitan dramatik buat Manchester United dengan kemenangan 3-2.

Ia juga merupakan jaringan sulung dihasilkan penyerang muda itu dalam saingan EPL bersama Manchester United.

Lebih manis ia turut meleburkan rekod 10 perlawanan tanpa kalah dalam semua pertandingan buat Aston Villa.