Penjaga gol Aston Villa, Emiliano Martinez membuktikan kemampuannya dengan beraksi cemerlang pada suku akhir kedua Europa Conference League 2023/24 awal pagi tadi.
Beliau mencuri tumpuan ketika aksi bertemu LOSC Lille apabila menyelamatkan dua sepakan penalti sekali gus membawa Villa ke separuh akhir.
Baca Juga:
- Kejutan Di EPL, Aston Villa Kejar Rapat Untuk Tempat Ke UCL
- Ian Wright: Aston Villa Pasukan Yang Perlu Diberikan Perhatian
- 10 Langkah Beli Tiket Bola English Premier League Dengan Harga Murah
Terikat 3-3 secara agregat selepas 120 minit permainan, pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti dimana Martinez menafikan sepakan yang diambil Nabil Bentaleb (sepakan pertama) dan Benjamin Andre (sepakan kelima).
Namun, ada perkara lebih menarik untuk memperkatakan tentang penjaga gol yang merupakan tonggak utama skuad kebangsaan Argentina.
Hal ini kerana beliau mendapat dua kad kuning tetapi tidak diperintahkan keluar padang oleh pengadil perlawanan dari Slovakia, Ivan Kružliak.
Kad kuning pertama yang diperolehi adalah pada minit ke-39 kerana melambat-lambatkan permainan manakala kad kedua sebaik sahaja sepakan penalti pertama diambil Bentaleb.
Martinez pada mulanya menyangka beliau akan dibuang padang, kemudiannya tidak percaya apabila pengadil mengeluarkan kad kuning tetapi tidak pula melayangkan kad merah.
Kruzliak tidak melakukan perkara tersebut kerana dalam peraturan yang dikemaskini pada empat tahun lalu, kad kuning pertama diperoleh tidak akan dibawa ke penentuan sepakan penalti.
Dengan kejayaan 4-3 tersebut, Aston Villa menjadi satu-satunya kelab dari saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang mara ke separuh akhir dalam semua kejohanan Eropah selepas Arsenal dan Manchester City (Liga Juara-Juara Eropah) serta Liverpool dan West Ham tersingkir dalam Liga Europa.