Bekas penyerang skuad kebangsaan England, Ian Wright melihat aksi konsisten ditampilkan Aston Villa memberikan isyarat jelas bahawa kelab tersebut perlu diberikan perhatian.

Mendapat bimbingan Unai Emery yang mula membimbing pasukan pada 24 Oktober 2022, Aston Villa pada ketika ini hanya satu mata ketinggalan dibelakang pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) 2023/24, Arsenal.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Baca Juga:

Tersentak dengan kekalahan 1-5 pada aksi pembukaan menentang Newcastle United, Aston Villa kemudiannya bangkit dengan dua kemenangan ke atas Everton dan Burnley.

Selepas tewas kepada Liverpool pada aksi keempat, anak buah Emery merasai lima kemenangan dan satu keputusan seri sebelum dikejutkan pasukan kelompok bawahan, Nottingham Forest.

Bagaikan mendapat tonik berguna susulan kekalahan tersebut, Villa memperkemaskan aksi untuk tampil dengan cukup bertenaga dalam menewaskan Tottenham Hotspur, Manchester City dan Arsenal bagi berada dalam kelompok atasan saingan liga.

Mereka juga merupakan antara pasukan yang masih belum tewas di laman sendiri dalam kempen liga serta Europa Conference League.

Sehubungan dengan itu, Wright melihat Aston Villa pada ketika ini sebagai sebuah pasukan yang tidak boleh untuk diperkecilkan dan perlu diberikan perhatian.

“Menewaskan Manchester City dan Arsenal serta meraih keputusan besar di Eropah dengan terikat 1-1 [bertemu HSK Zrinjski Mostar] untuk berada di tangga teratas peringkat kumpulan.”

“Kita bercakap tentang prestasi dengan kemenangan 15 perlawanan di gelanggang sendiri [lapan daripadanya terhasil dalam saingan EPL], dan mereka terpaksa berkunjung ke Brentford yang sentiasa merupakan tugasan sukar.”

“Itulah yang anda lakukan [menang 2-1] sekiranya anda mahu mencuba dan memenangi kejuaraan,” ujar Wright menurut sumber laporan Goal.

“Ini adalah jenis permainan yang anda perlu mainkan untuk menang dan terus mengekalkan momentum tersebut.”

“Aston Villa berada pada prestasi terbaik untuk cuba memenangi kejuaraan. 15 kemenangan di laman sendiri, menewaskan Arsenal, Manchester City.”

“Mereka merupakan sebuah pasukan yang perlu untuk diberikan perhatian,” tambah Ian Wright lagi.

Selepas mengharungi 17 perlawanan liga, Aston Villa mencatatkan 12 kemenangan, dua keputusan seri dan tiga kekalahan untuk berada di tangga ketiga dengan 38 mata.