Arsenal mengalami kekalahan kedua berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2023/24 selepas tumbang di tangan Fulham 1-2 pada aksi yang berlangsung di Craven Cottage sebentar tadi.

Kekalahan itu menyaksikan The Gunners menghuni tangga keempat dengan 40 mata, ketinggalan dua mata di belakang pendahulu liga, Liverpool yang masih kekurangan satu perlawanan.

HYPE
Wayout Solution Cipta Sejarah Rangkul Anugerah Company Of The Year
Baca lagi →

Semuanya tampak berada di landasan tepat buat anak buah Mikel Arteta apabila Bukayo Saka memberikan kelebihan seawal minit kelima.

Saka yang berjaya melepasi perangkap ofsaid tidak berdepan masalah untuk menolak masuk bola selepas percubaan awal Gabriel Martinelli ditolak keluar Bernd Leno untuk meletakkan pasukan pelawat dihadapan.

Dalam Arsenal mengawal permainan, Raul Jimenez melonjakkan kegembiraan buat para penyokong tuan rumah untuk kembali mengikat kedudukan pada minit ke-29.

Berpunca daripada hantaran lintang Tom Cairney yang gagal dipatahkan pertahanan lawan, ia memberikan ruang buat Jeminez untuk menyempurnakan peluang terhidang bagi menewaskan David Raya.

Arsenal jelas berada dalam keadaan tertekan pada separuh masa kedua apabila tiada sebarang percubaan tepat dapat dilancarkan ke kubu Fulham.

Sebaliknya, Fulham mengambil kesempatan tersebut untuk mendapatkan gol kedua menerusi rembatan Bobby De Cordova-Reid pada minit ke-59.

Bersemangat dengan jaringan kedua yang dihasilkan, barisan pemain Fulham beraksi dengan cukup disiplin untuk menghalang gawang mereka daripada dibolosi.

Kedudukan itu kekal untuk menghadiahkan kemenangan ketujuh buat kelab tersebut yang kini menghuni tangga ke-13 dengan 24 mata.