England melangkah ke separuh akhir Piala Dunia 2026 selepas berjaya menundukkan Norway 2-1 pada aksi suku akhir yang berlangsung di Miami Stadium sebentar tadi.

Jude Bellingham merupakan watak penting dalam kemaraan penting itu setelah pemain tengah tersebut menjaringkan dua gol untuk memastikan slot separuh akhir menjadi milik skuad The Three Lions.

Meskipun menguasai permainan, skuad kendalian Thomas Tuchel itu tersentak pada minit ke-36.  Rembatan kaki kiri  Andreas Schjelderup dari sebelah kiri kotak penalti berupaya memperdayakan Jordan Pickford untuk meletakkan Norway dihadapan.

Dua Gol Bellingham Pastikan England Melangkah Ke Separuh Akhir
Kredit Foto: CHANDAN KHANNA / AFP

England Bangkit Daripada Ketinggalan

Kelebihan skuad kendalian Stale Solbakken itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Bellingham yang menerima lorongan Anthony Gordon, masuk ke dalam kawasan penalti dan kemudiannya melakukan percubaan rendah menewaskan Orjan Nyland pada masa kecederaan babak pertama.

Aksi babak kedua bersambung menyaksikan kem Norway sekali lagi melonjak kegembiraan, tetapi gol daripada Torbjorn Heggem dibatalkan Video Assistant Referee kerana Erling Haaland dikatakan terlebih dahulu melakukan kekasaran terhadap Elliot Anderson.

Aksi selepas itu lebih mendebarkan dengan kedua-dua pasukan berusaha keras untuk mendapatkan jaringan kemenangan tetapi ketumpulan penyudah menggagalkan usaha mereka untuk aksi terpaksa berlanjutan ke masa tambahan selama 30 minit.

Dua Gol Bellingham Pastikan England Melangkah Ke Separuh Akhir
Kredit Foto: PATRICIA DE MELO MOREIRA / AFP

Bellingham tidak menunggu lama untuk menghasilkan jaringan kedua selepas pemain Real Madrid itu menolak masuk bola ketika percubaan awal Morgan Rogers dari jarak jauh diselamatkan Nyland pada minit ke-93.

England hampir menambah jaringan pada minit ke-110 tetapi Nyland cemerlang dalam menafikan dua percubaan berturut-turut oleh Djed Spence dan Bukayo Saka.

Kedudukan 2-1 itu kekal hingga tamat permainan untuk membolehkan England mara ke separuh akhir bagi menanti pemenang antara Argentina dan Switzerland yang akan beraksi pada 9.00 pagi nanti.