Jude Bellingham memberikan penilaian yang jujur terhadap prestasinya sendiri selepas England terikat tanpa jaringan dengan Ghana dalam perlawanan yang mengecewakan pada Piala Dunia 2026 awal pagi tadi.

Walaupun dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan, bintang Real Madrid itu menegaskan anugerah tersebut sepatutnya diberikan kepada pemain Ghana susulan aksi pertahanan kental yang dipamerkan pasukan Afrika itu di Boston.

Dalam perlawanan yang menyaksikan skuad kendalian Thomas Tuchel bergelut untuk memecahkan benteng pertahanan rendah yang tersusun rapi oleh Carlos Queiroz, Bellingham menjadi tumpuan utama perbincangan selepas tamat perlawanan.

Walaupun secara rasmi diiktiraf sebagai pemain terbaik di atas padang, pemain tengah itu pantas menolak pujian tersebut dengan mengakui beliau tidak melakukan secukupnya untuk melayakkan diri menerima anugerah individu berkenaan selepas malam yang mengecewakan buat England.

Bellingham Tak Puas Hati Dengan Aksinya Ketika Bertemu Ghana

Mengulas mengenai perkara itu, Bellingham secara terbuka meluahkan pandangannya mengenai keputusan tersebut.

“Sejujurnya, saya tak layak pun menerimanya,” ujar Bellingham menurut sumber laporan Goal.

“Anugerah itu mungkin sepatutnya diberikan kepada salah seorang pemain mereka [Ghana] yang bertahan dengan begitu baik.”

“Saya ada beberapa detik yang baik, tetapi agak sukar untuk benar-benar mempengaruhi permainan. Saya berterima kasih kepada mereka yang mengundi saya, tetapi saya rasa anugerah itu lebih layak diberikan kepada salah seorang pemain mereka yang bertahan dengan sangat baik.”

“Jadi, pujian harus diberikan kepada mereka.” tambah beliau lagi.

England dilihat berpeluang cerah untuk menjuarai kumpulan L apabila akan bertemu Panama pada aksi terakhir nanti.

 

Sumber