Coca-Cola dan Unilever mencatatkan peningkatan ketara dalam jualan selepas meraih manfaat daripada kempen pengiklanan besar-besaran sepanjang Piala Dunia 2026.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Kewangan Coca-Cola, John Murphy berkata syarikat itu tidak kecewa dengan pelaksanaan waktu rehat hidrasi (hydration break) yang mencetuskan kontroversi sepanjang kejohanan.
Waktu rehat hidrasi tersebut ditaja oleh Powerade, jenama minuman sukan milik Coca-Cola dengan setiap perlawanan diberikan rehat selama tiga minit pada pertengahan babak pertama dan kedua.
Penangan ‘Hydration Break’ Buat Penaja Di Piala Dunia 2026
“Saya tidak pasti sama ada waktu rehat hidrasi ini akan menjadi ciri tetap dalam dunia bola sepak, namun kami sememangnya tidak kecewa dengan pelaksanaannya sepanjang Piala Dunia,” ujar Murphy menurut sumber laporan The Times.
Pelaksanaan waktu rehat hidrasi menerima kritikan daripada penyokong, pemain dan jurulatih sepanjang kejohanan berlangsung. Ketua jurulatih England, Thomas Tuchel menyifatkan peraturan itu telah mengubah identiti sesebuah perlawanan bola sepak.
Walaupun pelaksanaan waktu rehat hidrasi mencetuskan kontroversi, Coca-Cola melaporkan pendapatan bersihnya meningkat 7 peratus tahun ke tahun kepada AS$13.4 bilion bagi tempoh tiga bulan berakhir Jun.

Syarikat itu berkata kempen pengiklanan besar-besaran sempena Piala Dunia menyumbang kepada peningkatan 5 peratus dalam jumlah jualan minuman Coca-Cola, manakala Powerade merekodkan pertumbuhan jualan sebanyak 8 peratus.
Coca-Cola turut memaklumkan bahawa kempen media sempena kejohanan itu menjana lebih sembilan bilion tontonan di media sosial merentasi semua jenamanya.
Sementara itu, Unilever, syarikat barangan pengguna di sebalik jenama Dove, Sure dan Lynx turut meraih manfaat daripada Piala Dunia. Unilever melaporkan jualan asasnya meningkat 5.8 peratus pada suku kedua tahun 2026, sekali gus mengatasi jangkaan pasaran.
Unilever memaklumkan bahawa syarikat itu mempromosikan 35 jenama produk penjagaan diri di 120 pasaran sepanjang Piala Dunia dengan bantuan 50,000 pempengaruh yang menghasilkan kandungan di media sosial.
Rexona, jenama yang digunakan Unilever bagi produk deodoran Sure di Amerika Latin, Australia dan Asia turut menjadi penaja papan nombor pertukaran pemain serta kit pengadil sepanjang Piala Dunia 2026.
Susulan laporan prestasi kewangan yang positif, harga saham Coca-Cola meningkat 7 peratus, manakala Unilever melonjak 9 peratus, sekali gus menambah nilai kedua-dua syarikat itu sebanyak berbilion pound.