Pemain baharu Manchester City, Elliot Anderson yang memecahkan rekod perpindahan kelab itu mendedahkan sebab di sebalik keputusannya menolak perpindahan ke Manchester United demi menyertai The Cityzens.

Menurut sumber laporan Goal, walaupun beberapa pemain Manchester United dikatakan berusaha memujuk Anderson ketika sedang bercuti selepas musim berakhir, pemain antarabangsa England itu tetap teguh dengan keinginannya untuk ke Etihad Stadium.

Ketika bercakap pada acara bersama peminat di kedai rasmi Manchester City pada Rabu, Anderson menjelaskan mengenai spekulasi yang sekian lama mengaitkannya dengan United, termasuk dakwaan bahawa The Red Devils menjadikannya sasaran utama perpindahan sebelum City berjaya memenangi persaingan untuk mendapatkan khidmat beliau.

Ketika ditanya mengenai laporan bahawa dia dipujuk oleh pemain-pemain United sepanjang tempoh luar musim, Anderson mengesahkan pertemuan tersebut namun tetap teguh dengan keputusannya.

Manchester City Di Hati Elliot Anderson

“Saya hanya bermain golf di Portugal sebelum terserempak dengan beberapa orang daripada mereka. Kami berbual dengan baik dan sebagainya tetapi saya perlu membuat satu keputusan dan saya memilih City.”

Walaupun pernah dikaitkan dengan Manchester United, sejarah peribadinya membuatkan hanya ada satu destinasi yang menjadi pilihannya apabila dia memutuskan untuk meninggalkan kelab lamanya.

“Saya ada melihat beberapa perkara yang dilaporkan. Namun, ia dibesar-besarkan,” kata Elliot Anderson.

“Saya mungkin baru berusia lapan atau sembilan tahun ketika [Sergio] Aguero menjaringkan gol itu [bertemu QPR]. Saya sudah mengikuti City sejak 10 tahun lalu. Anda perlu membuat keputusan besar dan saya yakin saya telah membuat keputusan yang tepat.”

Sumber