Nottingham Forest menghadiahkan kekalahan kesembilan buat Manchester United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2023/24 selepas menundukkan kelab tersebut 2-1 pada aksi yang berlangsung di City Ground, awal pagi tadi.

Lebih manis, ia merupakan pertama kali Nottingham Forest  menang ke atas Manchester United sejak tahun 1992.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Tidak banyak dapat diperkatakan mengenai aksi kedua-dua pasukan pada babak pertama dimana hanya satu percubaan tepat dicipta menerusi Manchester United yang sedikit menguasai permainan.

Memasuki babak kedua, aksi lebih menarik ditampilkan dengan percubaan luar kawasan penalti oleh Diego Dalot setelah menerima hantaran Aaron Wan-Bissaka pada minit ke-55 sekadar singgah di tiang gol.

Penyokong tuan rumah melonjak kegembiraan pada minit ke-64 apabila percubaan Nicolas Dominguez dalam kawasan penalti hanya mampu dipandang penjaga gol, Andre Onana untuk meletakkan Nottingham dihadapan.

Cubaan penjaga gol, Matt Turner untuk melakukan hantaran pendek di kawasan sendiri dihukum lawan selepas Alejandro Garnacho merampas dengan baik untuk melorongkan bola buat Marcus Rashford.

Rashford yang tidak dikawal ketat pertahanan Nottingham Forest dalam kawasan penalti mudah menewaskan Turner untuk kembali mengikat kedudukan pada minit ke-78.

Kegembiraan skuad kendalian Erik ten Hag itu hanya mampu bertahan empat minit apabila serangan balas pantas dilancarkan Nottingham Forest membolehkan Morgan Gibbs-White melakukan percubaan melencong yang gagal diselamatkan Onana.

Walaupun Manchester United berusaha keras untuk mendapatkan jaringan penyamaan dengan 10 minit masa tambahan diberikan, ia masih belum cukup untuk menghalang kemenangan bersejarah buat Nottingham Forest itu.

Ia merupakan kejutan kedua dilakukan Nottingham Forest sejak dibawah kendalian Nuno Espirito Santo selepas mereka menewaskan Newcastle United 3-1 pada ‘Boxing Day’ lalu.