Chelsea meraih kemenangan ketiga dalam kempen English Premier League (EPL) 2024/25 selepas berjaya menundukkan West Ham United 3-0 pada aksi yang berlangsung di London Stadium sebentar tadi.
Kemenangan pada Derbi London itu membolehkan The Blues mengumpul 10 mata untuk berada di kedudukan kedua buat seketika sementara menantikan pasukan lain beraksi.
Baca Juga:
- 10 Pemain Kelab EPL Yang Dicanang Berdarah Keturunan Malaysia
- ‘Kami Belum Bersedia Nak Menang EPL Musim Ini’ – Bruno Fernandes
- Ini Sebab 3 Kelab EPL Ini Pakai Swoosh Nike Menegak
Malah, ia merupakan kekalahan ketiga buat skuad kendalian JulenĀ Lopetegui yang nyata membuatkan pengurus dari Sepanyol tersebut berada dalam keadaan tertekan.
West Ham United hanya mampu mengumpul empat mata hasil satu kemenangan, satu keputusan seri dan tiga kekalahan setakat ini.
Chelsea tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Nicolas Jackson hanya memerlukan empat minit bagi membolosi gawang tuan rumah.
Mendapat lorongan daripada Jadon Sancho, penyerang Chelsea itu kemudiannya meluru pantas ke dalam kawasan penalti lalu melakukan percubaan melepasi celah kaki penjaga gol West Ham United, Alphonse Areola.
Cole Palmer hampir menghadirkan jaringan kedua berselang lapan minit kemudian, tetapi percubaan leretnya dalam kawasan penalti ketika tidak dikawal pertahanan West Ham hanya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol.
Kehampaan itu ditebus Jakson pada minit ke-18 apabila beliau sekali lagi dengan tenang menewaskan Areola setelah menerima lorongan kemas daripada Moises Caicedo untuk mengukuhkan kedudukan buat Chelsea.
West Ham mendapat peluang untuk merapatkan defisit jaringan pada minit ke-32 tetapi jaringan Muhammad Kudus dibatalkan kerana beliau dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.
Tuan rumah terus dirundung malang pada minit ke-47 selepas Cole Palmer pula meletakkan nama selaku penjaring menerusi satu serangan balas pantas dijelmakan Chelsea.
Memasuki minit ke-51, Jarrod Bowen mendapat peluang untuk mendapatkan jaringan, namun rembatannya dalam kawasan penalti berjaya diselamatkan Roberto Sanchez menggunakan satu tangan sahaja.
Peluang yang cuba dicipta kedua-dua pasukan selepas itu tidak membuahkan hasil untuk membolehkan Chelsea meraih tiga mata penuh pada perlawanan ini.