Manchester United bangkit daripada ketinggalan pada babak pertama untuk mengikat Bournemouth 1-1 pada aksi English Premier League (EPL) ke-34 yang berlangsung di Vitality Stadium sebentar tadi.

Keputusan seri itu menyaksikan United masih lagi ketandusan kemenangan dalam lima aksi terakhir kempen liga dimana mereka tewas tiga kali dan mencatatkan dua keputusan seri.

Baca Juga:

Kobbie Maino mendapat peluang pada minit ke-10 tetapi percubaannya diselamatkan dengan cemerlang penjaga gol utama Bournemouth, Kepa Arrizabalaga.

Penyokong Bournemouth melonjak kegembiraan pada minit ke-23 selepas Antoine Semenyo tidak melepaskan peluang untuk memberikan kelebihan buat skuad tuan rumah.

Jaringan itu berpunca daripada Patrick Dorgu yang gagal mengawal bola dengan baik hingga dirampas oleh pemain Bournemouth untuk melakukan serangan pantas di sebelah kiri pintu gol Manchester United.

Evanilson yang mendapat bola hasil hantaran lintang itu melakukan ‘backheel’ kepada Semenyo dan pemain skuad kebangsaan Ghana tersebut melakukan percubaan dalam kawasan penalti sekali gus menewaskan Andre Onana.

Tersentak dengan jaringan itu, Manchester United memperkemaskan aksi dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-38.

Namun, percubaan Alejandro Garnacho ketika hanya berhadapan dengan Kepa dinafikan penjaga gol kelahiran Sepanyol itu bagi menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.

Garnacho jelas berusaha keras untuk mendapatkan jaringan dengan melakukan gerakan solo, tetapi percubaan kaki kirinya sedikit tersasar pada masa kecederaan babak pertama.

Memasuki minit ke-60, Bournemouth hampir menambah jaringan kedua menerusi Dango Outtara, bagaimanapun sepakan percuma yang diambilnya sekadar singgah di tiang gol.

10 minit kemudian, The Cherries terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Evanilson diperintahkan keluar padang kerana melakukan kekasaran terhadap Noussair Mazraoui selepas pengadil membuat rujukan Video Assistant Referee (VAR).

Kesempatan itu diambil sepenuhnya Manchester United untuk memberikan tekanan dan akhirnya berjaya mendapatkan jaringan penyamaan pada masa kecederaan menerusi Rasmus Hojlund.

Dengan keputusan seri tersebut, Manchester United menduduki tangga ke-14 dengan 39 mata manakala Bournemouth puala di kedudukan ke-10 dengan 50 mata.