Jaringan Kai Havertz dan Jamal Musiala berjaya membantu Jerman mara ke suku akhir Euro 2024 selepas mereka menundukkan Denmark 2-0 di Signal Iduna Park, awal pagi tadi.

Kemenangan sukar dilakarkan itu sekali gus meneruskan kemaraan skuad kendalian Julian Nagelsmann dalam usaha memburu kejuaraan Eropah buat kali keempat.

Baca Juga:

Tuan rumah hampir membuka tirai jaringan seawal minit keempat apabila pemain pertahanan, Nico Schlotterbeck menanduk masuk bola setelah menerima hantaran Toni Kroos hasil situasi sepakan penjuru.

Namun, gol tersebut dibatalkan oleh pengadil dari England, Micheal Oliver kerana Joshua Kimmich dikatakan terlebih dahulu mengasari Skov Olsen.

Aksi kemudiannya terpaksa dihentikan selama 25 minit ekoran ribut petir yang dilihat cukup membahayakan.

Selepas perlawanan kembali disambung, Video Assistant Referee (VAR) turut membatalkan jaringan dihasilkan pertahanan Denmark, Joachim Andersen.

Pemain Crystal Palace itu kemudiannya melakukan kesilapan yang menjurus kepada sepakan penalti diberikan kepada Jerman dan ia disempurnakan oleh Havertz pada minit ke-53.

Berselang 15 minit kemudian, Musiala menambah jaringan kedua untuk melebarkan kedudukan dan Denmark terus hampa dengan kegagalan Rasmus Hojlund menyempurnakan peluang terhidang bagi memastikan slot ke suku akhir menjadi milik Jerman.

Di peringkat suku akhir, Jerman akan menentang pemenang antara Sepanyol dan Georgia yang akan beraksi pada awal pagi esok.

Sekiranya bertemu Sepanyol, ia akan menjadi aksi yang menarik dengan kedua-dua pasukan berkongsi tiga kejuaraan Eropah.

Jerman menang pada edisi 1972, 1980 dan 1996 manakala Sepanyol pula mengecapi nikmat tersebut ketika saingan 1964, 2008 serta 2012.