Legenda Manchester United, Patrice Evra menamakan pengurus pilihannya sebagai calon impian untuk membimbing Red Devils sebagai pengendali tetap.
Individu dimaksudkan ialah legenda bola sepak Sepanyol yang kini mengemudi gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) iaitu Luis Enrique.
Bercakap mengenai masa depan kerusi panas di Old Trafford, Evra menyatakan bahawa kebijaksanaan taktikal Enrique serta ketabahan peribadinya menjadikan beliau calon yang ideal untuk berdepan tekanan dalam saingan English Premier League (EPL).

Namun, dalam masa yang sama beliau masih mahu melihat Michael Carrick diberikan peluang untuk membuktikan kemampuannya.
Sejak pelantikan Michael Carrick sebagai pengganti sementara kepada Ruben Amorim, Manchester United menikmati peningkatan prestasi yang ketara.
Di bawah kendaliannya, pasukan itu meraih enam kemenangan, mencatat satu keputusan seri dan hanya mengalami satu kekalahan.
Ramai kini mula mendesak agar bekas pemain tengah itu diberikan jawatan tersebut secara tetap, namun terdapat juga beberapa pemerhati bola sepak termasuklah legenda Manchester United sendiri yang berpendapat Red Devils sepatutnya mencari calon lain.

Pengurus Impian Evra Buat Manchester United
“Saya tidak bercakap dengan lembaga pengarah Manchester United atau Sir Jim Ratcliffe, tetapi secara jujurnya, dan tanpa sebarang rasa tidak hormat kepada PSG atau Nasser Al-Khelaifi, saya fikir Luis Enrique adalah pengurus yang sempurna untuk Manchester United.”
“Saya sukakan beliau, saya sukakan falsafahnya, apa yang beliau lalui dalam kehidupan peribadi dan bagaimana beliau mengatasinya menunjukkan keperibadiannya,” ujar Evra menurut sumber laporan Goal.
“Kerja yang beliau lakukan di PSG dengan menghadiahkan mereka Liga Juara-Juara tanpa Lionel Messi, Kylian Mbappe atau Neymar adalah sesuatu yang hebat.”
“Para pemain perlu bekerja sangat keras untuk bermain dengan Manchester United, mereka perlu banyak berlari dan saya fikir Enrique akan membawa perkara itu. Tetapi, saya tidak fikir kita patut mengetepikan Michael Carrick.”
“Dia telah melakukan kerja yang sangat baik dan kita perlu memberinya peluang. Orang ramai mahukan pengurus yang hebat untuk Manchester United, tetapi sekarang kita perlukan seseorang yang benar-benar memahami kelab dan para pemain.”
“Enrique adalah pakar taktikal yang genius dan sangat baik dengan pemain, tetapi saya fikir Carrick layak diberikan peluang,” tambah Patrice Evra lagi.