Walaupun jentera Formula 1 (F1) belum memulakan perlawanan di atas litar, penganjuran semula Grand Prix (GP) Sepanyol di Madrid telah mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan penduduk tempatan.
Rata-rata penduduk meluahkan ketidakpuasan hati terhadap gangguan ketenteraman awam berikutan perlumbaan yang dijadualkan berlangsung di litar hibrid sekitar kawasan perumahan elit ibu negara tersebut, petik Chron.
Meskipun penganjuran acara sukan permotoran berprestij itu mendapat sokongan padu berikutan penganjurannya semula selepas 45 tahun, sebilangan warga tempatan bimbang akan isu pencemaran bunyi, penutupan jalan utama, serta implikasi terhadap alam sekitar sepanjang tempoh kontrak 10 tahun penganjuran berkenaan.
Gerakan “Stop Formula 1 Madrid” Ditubuhkan
Bagi menentang penganjuran tersebut, sebuah kumpulan penduduk tempatan telah menubuhkan platform gerakan yang dikenali sebagai Stop Formula 1 Madrid.
Penubuhan platform itu bertujuan menyatukan penentangan warga setempat terhadap projek yang didakwa mengganggu aliran mobiliti serta kesihatan ribuan isi rumah dan pekerja.
Melalui portal rasmi gerakan berkenaan, satu petisyen digital telah dilancarkan bagi mengumpul tandatangan awam.
Menurut kenyataan kumpulan itu, kajian awal menunjukkan paras bunyi yang dihasilkan oleh jentera perlumbaan bakal melebihi had undang-undang yang ditetapkan, selain menjadi punca utama pencemaran udara.
Tindakan undang-undang turut diambil apabila penduduk mengemukakan beberapa aduan rasmi berhubung pencerobohan ketenteraman berdekatan kawasan sekolah, rumah penjagaan warga emas, serta premis keagamaan.
Walaubagaimanapun, Mahkamah Sepanyol dilaporkan telah menolak sekurang-kurangnya dua permohonan perintah langkah pemeliharaan (precautionary measures) bagi menghentikan projek berkenaan.
Pihak Berkuasa Pertahan Manfaat Ekonomi
Dalam pada itu, pihak berkuasa tempatan mengakui wujud gangguan lalu lintas dan ketenteraman, namun mengendalikan pendirian bahawa manfaat ekonomi negara adalah jauh lebih besar.
Datuk Bandar Madrid, José Luis Martínez-Almeida, menegaskan bahawa pihak pentadbiran bandar raya sedang mengambil langkah proaktif bagi mengurangkan kesannya terhadap penduduk.
“Ini merupakan salah satu acara terbesar yang bakal dianjurkan oleh bandar raya ini. Kami memahami aduan daripada penduduk dan sedang mengambil semua langkah bersesuaian bagi meminimumkan gangguan tersebut,” ujar beliau.
Pihak pentadbiran menganggarkan seramai 345,000 pengunjung bakal memenuhi perkarangan litar sepanjang minggu perlumbaan. Penganjuran GP Sepanyol ini dijangka menjana kira-kira 8,000 peluang pekerjaan serta memberi impak ekonomi bernilai 450 juta euro (USD522 juta) setahun kepada wilayah berkenaan.
Sektor Perniagaan Tempatan Terjejas
Meskipun terdapat unjuran pertumbuhan ekonomi, sebilangan perniagaan kecil berhampiran kawasan kawalan keselamatan dijangka mengalami kerugian.
Kelab Golf Olivar de la Hinojosa, yang terletak di dalam zon sekatan akses, meramalkan penurunan jumlah pelanggan berikutan kesesakan lalu lintas yang teruk. Pengurusan kelab berkenaan kini terpaksa mengeluarkan akreditasi khas bagi membolehkan ahli dan pemain golf mengakses fasiliti tersebut.
Bagi menangani isu pencemaran bunyi, pihak penganjur telah mula memasang peranti penyukat paras bunyi di premis perniagaan dan kediaman berhampiran, di samping membina penghalang bunyi (noise screens) di lokasi strategik.
Sebelum ini, ujian jentera Formula 3 di litar berkenaan telah mencetuskan gegaran kuat pada cermin bangunan kelab golf berhampiran, sekali gus membuktikan kebimbangan penduduk terhadap desibel bunyi yang dijangka melebihi paras 100 desibel semasa perlumbaan F1 berlangsung kelak.