Pengurus Brighton & Hove Albion, Fabian Hürzeler, melancarkan kritikan keras terhadap taktik melengahkan masa oleh Arsenal dan menggesa Premier League campur tangan kerana menurutnya The Gunners “bermain mengikut peraturan mereka sendiri.”
Gol Bukayo Saka pada minit kesembilan yang terkena sedikit defleksi sudah cukup untuk memberikan kemenangan 1-0 kepada Arsenal di American Express Stadium dan meletakkan mereka tujuh mata di hadapan di puncak liga.
Perlawanan itu berlangsung tegang apabila Hürzeler dan jurulatih Arsenal Mikel Arteta saling bertukar kata di tepi padang. Pemain Brighton semakin berang kerana mereka merasakan Arsenal berulang kali cuba memperlahankan permainan pada kedua-dua babak.
Sebelum perlawanan, Hurzeler sudah menyatakan Arsenal agak “kreatif” dalam melengahkan masa untuk memulakan semula permainan daripada sepakan sudut. Namun selepas perlawanan, kekecewaannya menjadi lebih ketara.
Pengurus berusia 33 tahun itu juga mendakwa pengadil Chris Kavanagh memberitahunya pada waktu rehat bahawa beliau tidak dapat menghukum Arsenal secukupnya atas tindakan melengahkan masa.
“Cara menang itu ada macam-macam,” katanya.
“Kalau mereka menang Premier League, tiada siapa akan tanya bagaimana mereka memenangi liga itu.”
“Anda boleh rasa mereka akan lakukan apa sahaja untuk menang perlawanan ini. Akhirnya semuanya tentang peraturan. Jika Premier League dan pengadil membenarkan segalanya, maka ia menjadi sukar.”
“Mereka buat peraturan mereka sendiri. Buat masa ini saya rasa mereka bermain dengan peraturan mereka sendiri, tidak kira bagaimana cara mereka bermain. Sebab itu sukar untuk menilainya.”
“Adakah anda mahu melayangkan kad merah kepada penjaga gol kerana dua kad kuning akibat melengahkan masa? Itu tidak akan berlaku. Jadi apa yang patut dilakukan? Sebab itu kita perlukan peraturan dan had.”
“Itulah juga yang dia (Kavanagh) akui kepada saya ketika rehat separuh masa. Kami berbincang bagaimana untuk mengurangkan masa yang dibazirkan dan dia berkata perkara itu bukan mudah untuknya.
“Kita perlukan peraturan yang jelas supaya pengadil boleh dilindungi. Mereka perlu berpegang pada sesuatu dan Premier League perlu membantu mereka dengan lebih baik.”
Walaupun Brighton menguasai lebih banyak penguasaan bola, melakukan lebih banyak percubaan dan mempunyai angka expected goals yang lebih tinggi, mereka tetap tewas.
“Saya suka cara kami bermain bola sepak,” kata Hürzeler.
“Saya rasa hanya ada satu pasukan yang benar-benar cuba bermain bola sepak hari ini, dan sebab itu saya bangga dengan cara mereka bermain.”
“Saya tidak akan menjadi pengurus yang cuba menang dengan cara seperti itu. Saya mahu membangunkan pemain. Saya mahu pemain terus berkembang dan terus bermain bola sepak di atas padang.”

“Akhir sekali, setiap pasukan memang akan cuba mengurus permainan dan melengahkan masa, tetapi mesti ada had. Had itu perlu ditetapkan oleh Premier League. Buat masa ini mereka boleh buat apa sahaja yang mereka mahu.”
“Saya tidak pasti jika saya tanya semua orang di bilik ini sekarang: ‘Adakah mereka benar-benar menikmati perlawanan ini?’ Mungkin hanya seorang yang angkat tangan kerana dia peminat besar Arsenal. Selain itu, tiada peluang.”
“Ke mana arah bola sepak seperti ini pada masa depan? Itu persoalan saya. Dalam satu perlawanan kita bermain 60 minit masa permainan sebenar, tetapi apabila lawan Arsenal hanya 50 minit. Beza 10 minit — adakah ini yang penyokong bayar untuk tonton? Faham maksud saya?”
Arteta pula enggan melayan komen tersebut.
“Ia sangat mengejutkan,” katanya apabila komen Hürzeler disampaikan kepadanya.
“Kalau anda lihat semula perlawanan sebelum ini, memang selalu ada komen seperti ini.”
“Saya sayangkan pemain-pemain saya. Itu yang paling penting. Saya sayang pemain saya, kami sayang pemain kami, dan saya suka cara kami bersaing.”