Cesc Fabregas mendedahkan bahawa beliau menjadikan bekas kelabnya, Arsenal sebagai sumber inspirasi ketika terus membentuk Como menjadi sebuah pasukan yang mampu bersaing dalam Serie A.

Selepas mencatat kemenangan penting 2-1 ke atas Parma dalam aksi liga, jurulatih dari Sepanyol itu menjelaskan bagaimana evolusi taktikal The Gunners menjadi contoh yang boleh dijadikan panduan untuk merealisasikan aspirasinya sendiri di Itali.

Como kini cemerlang dalam aksi Serie A 2026/27 selepas mencatatkan tiga kemenangan dan satu keputusan seri untuk berada di kedudukan ketiga dengan 10 mata.

Fabregas Dedah Inspirasi Arsenal Untuk Bawa Como Ke Tahap Lebih Tinggi
Kredit Foto: PIERO CRUCIATTI / AFP

Manakala sejarah beraksi buat pertama kali dalam UEFA Champions League (UCL) juga diterjemahkan dengan kemenangan selesa 4-1 ke atas RB Leipzig pada aksi pembukaan tempoh hari.

Arsenal Jadi Inspirasi Buat Fabregas

Salah satu elemen utama dalam pendekatan taktikal Fabregas ialah sumbangan pemain pertahanan dalam menjaringkan gol. Satu ciri yang dikaitkannya dengan Arsenal kendalian Mikel Arteta.

Perkara itu dapat dilihat menerusi pemain baharu Kaiki Bruno da Silva, pertahanan Brazil yang menjaringkan gol kedua untuk memastikan kemenangan ke atas Parma.

Fabregas kemudian menjelaskan falsafah tersebut dengan menjadikan bekas kelabnya sebagai contoh utama untuk diikuti para pemain.

“Dia pernah bermain untuk pasukan Brazil, jadi dia mempunyai kualiti yang tinggi dan akan banyak membantu kami,” ujar Fabregas menurut sumber laporan Goal.

Fabregas
Kredit Foto: Mairo Cinquetti / NurPhoto via AFP

“Dia memang suka bertahan dan perkara itu jelas ditunjukkannya hari ini. Dia akan perlahan-lahan menyesuaikan diri untuk memberikan apa yang kami harapkan daripadanya.”

“Dalam bola sepak moden, sangat penting untuk memiliki pemain pertahanan yang mampu menjaringkan gol.”

“Arsenal banyak memenangi perlawanan dalam saingan Liga Perdana Inggeris menerusi gol yang dijaringkan pemain pertahanan dan daripada situasi bola mati. Jika kami dapat menambah elemen ini dalam kemampuan kami, ia akan menjadi satu kelebihan.”

 

Sumber