Pemain sayap Selangor, Faisal Halim sudah dipindahkan ke wad biasa selepas lebih seminggu diletakkan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) ekoran disimbah asid oleh individu tidak dikenali baru-baru ini.
Perkara ini dikongsikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar dimana beliau turut menyatakan keadaan Faisal kini semakin stabil tetapi masih memerlukan penjagaan rapi.
Baca Juga:
- Rakan Sepasukan Rindu Kelibat Faisal Halim
- Faisal Halim Teruja Untuk Jalani Proses Fisioterapi
- Kem Manchester United Berikan Sokongan Kepada Faisal Halim
“Alhamdulillah hari ini Faisal sudah dipindahkan dari ICU ke wad biasa. Tetapi, masih lagi tidak dibenarkan pelawat kerana keadaan Faisal masih lagi sensitif. Namun keadaan dia stabil,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Pada masa yang sama, Datuk Seri Shahril menegaskan pemain yang mesra disapa Mickey itu turut mengidam nasi kandar selepas lebih seminggi dirawat di sebuah hospital swasta.
Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memberitahu Faisal Halim tidak sabar untuk menjalani fisioterapi yang menjadi sebahagian daripada usaha pemulihan yang telah dirancang baginya.
“Doktor beritahu kami tahap kesihatan Faisal semakin membaik kerana beliau berada dalam keadaan yang cergas. Dia teruja untuk menjalani proses fisioterapi. Dia sangat bersemangat untuk menjalani fisio.
“Selepas bercakap dengan pakar bedah yang mengendalikan Faisal, kita tahu beliau dijaga dengan baik. Institut Sukan Negara (ISN) juga bekerjasama bagi memastikan proses selepas pembedahan seperti fisio dan pemulihan dijalankan dengan baik.
“Bila Faisal akan kembali, itu kita tidak tahu. Tetapi doktor memberitahu beliau sangat positif tentang dirinya,” katanya.