Pemain sayap Selangor, Faisal Halim berasa teruja untuk menjalani proses fisioterapi dalam usaha proses pemulihan beliau selepas mengalami kes simbah asid minggu lalu.

Perkara ini dikongsikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dimana doktor mengatakan keadaan Faisal semakin membaik berbanding sebelum ini.

Baca Juga:

“Doktor beritahu kami tahap kesihatan Faisal semakin membaik kerana beliau berada dalam keadaan yang cergas. Dia teruja untuk menjalani proses fisioterapi. Dia sangat bersemangat untuk menjalani fisio.

“Selepas bercakap dengan pakar bedah yang mengendalikan Faisal, kita tahu beliau dijaga dengan baik. Institut Sukan Negara (ISN) juga bekerjasama bagi memastikan proses selepas pembedahan seperti fisio dan pemulihan dijalankan dengan baik.

“Bila Faisal akan kembali, itu kita tidak tahu. Tetapi doktor memberitahu beliau sangat positif tentang dirinya,” katanya menurut laporan Malaysia Gazette.

Selepas menjalani pembedahan ketiga, keadaan Faisal Halim semakin baik dimana beliau sudah boleh berjalan dan lebih ceria berbanding sebelum ini.

“Dia pun dah boleh pergi bilik air dengan sendiri dan bagi saya, ini sememangnya satu perkembangan yang positif untuk hari ini.

“Cuma apabila dia dah mula nak berjalan dan betul-betul bersemangat, itu sangat membanggakan. Mickey sentiasa jadi Mickey cuma pergerakannya agak terbatas dengan balutan di badannya,” kata Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC iaitu Datuk Seri Shahril Mokhtar.

Dalam masa yang sama, Datuk Shahril menggesa agar semua pihak memberikan ruang dan masa kepada Faisal Halim untuk menjalani proses pemulihan dan meminta agar tidak melawat ke hospital dalam jangka masa tiga ke empat hari bermula hari ini.

Pembedahan ketiga yang dijalani Faisal membabitkan prosedur ‘skin allograft’ yang berlangsung selama kira-kira tiga jam.

Menurut Ketua Perubatan Sukan Selangor, Dr Muhammad Hazwan Khair, proses ini secara asasnya rawatan ini menggunakan kaedah kulit diperoleh dari penderma akan digunakan sebagai penutup sementara untuk menutup luka melecur sekiranya pesakit tidak memiliki kulit yang cukup.

Rawatan ini memakan kos sekitar RM30,000 dan langkah ini dianggap sebagai langkah terbaik bagi membantu proses pemulihan Faisal.