Peminat bola sepak tempatan kini boleh menarik nafas lega apabila proses pemulihan tonggak Selangor FC, Faisal Halim menunjukkan perkembangan positif dari hari demi hari.
Menurut laporan Bernama, tahap kesembuhannya kini sudah mencapai hampir 95 peratus dan dijangka akan kembali beraksi dalam tempoh beberapa bulan lagi.
Baca Juga:
- Ini Rahsia Bangsa Cina Simpan Duit Yang Semua Orang Boleh Ikut
- Mengapa Pengguna CIMB Tidak Perlu Panik Dengan Servis DuitNow
- Kad Kredit Bahaya? Mari Ambil Tahu Tentang Kelebihan Dan Keburukannya
Malah, bapanya Abdul Halim Saad mengesahkan Faisal atau dipanggil sebagai Mickey sudah mula melakukan senaman ringan di samping meneruskan sesi fisioterapi.
“Terima kasih kepada pengurusan Selangor FC yang beri sepenuh perhatian kepada dia. Mental dia kuat sebab jiwa dia, jiwa bola… dia pun sudah tak fikir benda lain dan hanya mahu kembali bermain bola,” katanya dipetik dalam Bernama.
Sebelum ini, Faisal membuat kemunculan buat kali pertama selepas beliau disimbah asid oleh individu tidak dikenali pada 5 Mei lalu dalam satu sidang media yang diadakan di pusat latihan Selangor.
Pemain yang berusia 26 tahun itu turut menerima kunjungan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi memberikan semangat tambahan kepadanya untuk segera pulih dan kembali beraksi dalam sukan bola sepak.
Pemain sayap skuad Harimau Malaya itu telah menjalani empat pembedahan untuk merawat luka kelecurannya itu sebelum dibenarkan keluar dari hospital pada 25 Mei lalu.
Doktor menjangkakan proses pemulihannya akan memakan masa selama enam bulan sebelum dibenarkan kembali menjalani latihan bersama pasukan.