Semalam, peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan penyebaran ‘surat layang’ yang dihantar menerusi email mengenai isu salah laku dalam pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sehingga membabitkan pasukan Harimau Malaya.

Email tersebut turut dihantar kepada pihak media oleh seorang pengirim yang tidak diketahui identiti sebenar dan menggunakan nama UltrasFAM.

Baca Juga:

Empat perkara utama yang dibangkitkan dalam email tersebut ialah penyalahgunaan kuasa oleh Setiausaha Agung FAM, isu gaji yang melibatkan pekerja FAM, isu pasukan kebangsaan dan projek pusat latihan.

Bagaimanapun, Naib Presiden FAM, Datuk Seri Rosmadi Ismail menegaskan semua dakwaan yang ditulis dalam email tersebut adalah tidak benar sama sekali.

Beliau menyifatkan kesemua dakwaan sengaja ditimbulkan kerana faktor tidak puas hati, dendam dan dengki.

“Bagi saya tuduhan-tuduhan itu tidak benar kerana setiap keputusan sama ada yang besar ataupun kecil kita buat dalam mesyuarat exco di mana mesti ada satu keputusan yang konsensus (dipersetujui bersama) antara kita barulah setiap keputusan itu dilaksanakan,” jelas Rosmadi.

Pengirim misteri tersebut turut menyeru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat bagaimana proses tender dijalankan di FAM dan siapa individu yang terlibat.

“Berkenaan tender pula, saya rasa tuduhan itu tak betul kerana kita buat tender terbuka, kita jemput semua pihak dan akan menilai antaranya dari segi keupayaan syarikat. Setiap keputusan dan cadangan daripada pengurusan ataupun perunding yang dilantik mesti kena dapatkan kelulusan exco.

“Saya yakin semua exco termasuk saya amat yakin dengan sistem yang dilaksanakan dan berada di belakang Presiden (Datuk Hamidin Mohd Amin) serta seluruh jawatankuasa yang dinyatakan dalam dakwaan yang dibuat itu,” katanya dipetik dalam Bernama.