Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan bahawa organisasi itu masih tidak membuat rayuan di atas dakwaan dan hukuman yang dikenakan oleh FIFA.

Hal ini kerana menurut FAM, proses rayuan hanya akan dibuat selepas menerima dokumen penuh tentang pertuduhan tersebut daripada FIFA.

FAM, menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Noor Azman Haji Rahman, dalam kenyataan memaklumkan:

“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ingin memaklumkan bahawa pihak FAM masih menunggu dokumen penuh keputusan penghakiman daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Proses rayuan hanya dapat dimulakan sebaik sahaja dokumen penuh keputusan tersebut diterima secara rasmi.”

Pasukan guaman FAM sudah bersedia untuk mengambil tindakan lanjut sebaik sahaja dokumen daripada FIFA itu dikeluarkan.

Di mana FAM akan terus mengemukakan bukti sokongan yang kukuh. FAM menambah:

“Pasukan guaman FAM telah bersedia untuk mengambil sebarang tindakan lanjut sejurus dokumen berkenaan diperoleh.

“Sebaik sahaja keputusan penuh diterima, pasukan guaman FAM akan mengemukakan rayuan dengan dokumen sokongan yang kukuh.”