Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merayu agar kumpulan penyokong, Ultras Malaya dan ultras lain tidak memboikot kejohanan Pestabola Merdeka 2024.
Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berharap ultras yang sebelum ini memutuskan untuk memboikot agar mempertimbangkan semula pendirian mereka.
Baca Juga:
- Ultras Malaya Boikot Pestabola Merdeka 2024
- Salah Satu Ultras Boikot Kejohanan Pestabola Merdeka 2024
- Datuk Hamidin Beri Sebab Mengapa ‘Capo’ Ultras Malaya Turun Naik Pejabat FAM
“Kami berharap mana-mana kumpulan penyokong sama-sama hadir ke Stadium Nasional, Bukit Jalil bagi memberikan sokongan dan semangat kepada pasukan dan para pemain Harimau Malaya pada 4 dan 8 September ini.
“Tambahan pula, Pestabola Merdeka 2024 ini berlangsung dalam Kalendar Perlawanan Antarabangsa FIFA iaitu dari 2 hingga 10 September 2024 dan sudah tentu ia menawarkan pungutan mata untuk kita terus memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Ranking FIFA,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Sebelum ini, Ultras Malaya dan beberapa ultras dari negeri lain mengambil keputusan mereka tidak akan hadir bagi memberi sokongan kepada pasukan negara ketika kejohanan Pestabola Merdeka 2024 sebagai satu bentuk boikot.
Ultras Panther memberikan beberapa sebab mengapa kumpulan itu tidak akan hadir bagi menyaksikan Pestabola Merdeka edisi kali ini.
“Setelah perbincangan dilakukan dan maka dengan seteguh semangat dan sebulat kata, Ultras Panther tidak akan turun untuk semua perlawanan di Pestabola Merdeka 2024. FAM dan MFL gagal!
“Isu perletakan jawatan coach KPG yang sangat kontroversi dan jawapan dari FAM penuh sandiwara.
“Keadaan pengurusan Liga Malaysia yang makin merapu dari MFL serta beberapa keputusan dari MFL dan FAM berkait isu-isu semasa baru-baru ini yang menimbulkan banyak keraguan dan tiada penjelasan.
“Kegagalan FAM dalam mengatur perlawanan persahabatan yang diminta KPG sebelum Kelayakan Piala Dunia baru-baru ini membawa kepada kegagalan layak ke pusingan ketiga.
“FAM tidak mengambil serius isu surat layang berkaitan kebobrokan peringkat dalaman FAM dan tiada empati atas kejadian yang menimpa pemain kebangsaan terutama kes Faisal Halim,” dipetik dari kenyataan di laman X.
Kejohanan edisi kali ini akan disertai oleh empat pasukan iaitu Malaysia, Filipina, Lebanon dan juara bertahan iaitu Tajikistan.
Malaysia akan bertemu Filipina pada 4 September manakala satu lagi perlawanan akan melibatkan Lebanon bertemu Tajikistan.
Pemenang akan mara ke perlawanan akhir yang dijadualkan pada 8 September . Kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.