Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampil memohon maaf kepada seluruh penyokong bola sepak negara susulan kontroversi pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan yang mencetuskan kegemparan tahun lalu.

Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, permohonan maaf itu dibuat bagi pihak badan induk bola sepak negara termasuk barisan Jawatankuasa Eksekutif (Exco) baharu yang kini menerajui persatuan tersebut.

Menurut beliau, kepimpinan baharu FAM memandang serius isu berkenaan dan memberi jaminan perkara sama tidak akan berulang sepanjang baki penggal 2025 hingga 2029.

“Saya mewakili kesemua Jawatankuasa Eksekutif FAM yang ada pada hari ini memohon maaf kepada seluruh penyokong bola sepak Malaysia atas isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan yang berlaku tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Keenam Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2025-2029 di Wisma FAM, semalam.

Ab Ghani berkata, FAM selepas ini akan memperkemaskan setiap proses berkaitan dokumentasi serta pemain yang dipanggil untuk mewakili Harimau Malaya.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan semua urusan dilakukan dengan lebih teliti selain mematuhi prosedur yang telah ditetapkan.

“Justeru itu, saya memberikan komitmen sepanjang tempoh menerajui FAM, perkara atau isu seumpama ini tidak akan dibiarkan berulang lagi,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

Pada September tahun lalu, FIFA mendapati wujud unsur pengubahsuaian atau pemalsuan dokumen berkaitan kelayakan tujuh pemain warisan Malaysia.

Susulan keputusan tersebut, FAM dikenakan denda sebanyak RM1.7 juta.

Sementara itu, setiap daripada tujuh pemain terbabit dikenakan denda RM9,800 selain penggantungan selama 12 bulan.